BERITA TERGEMPAR | Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | |
MELAKA, 25 Sept (Bernama) -- Biarpun Kontinjen Melaka tidak menepati sasaran 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang berakhir semalam, namun ia bukan satu kegagalan kerana pencapaian atlet negeri ini tetap membanggakan, kata Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.
Beliau juga menyifatkan 17 pingat emas, 11 perak dan 23 gangsa yang diraih itu hasil usaha dan kerja keras para atlet selepas menempuh pelbagai cabaran dan kekangan berikutan pandemik COVID-19 yang memberi impak besar kepada prestasi mereka.
“Faktor ini juga dipengaruhi perubahan kehidupan atlet yang ada dalam kalangan mereka yang terus bekerja dan menyambung pengajian dalam tempoh dua tahun ini selain berdepan kekangan masa serta peluang berlatih selain kurang menyertai kejohanan untuk meningkatkan prestasi.
“Sebagai contoh atlet yang terpaksa dikecualikan kerana kekangan pekerjaan mereka dan ada juga yang terpaksa menarik diri pada saat akhir menyebabkan kita terlepas beberapa acara yang dilihat mampu menghadiahkan pingat emas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Majlis Penutup Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Zon Selatan 2022 di Kompleks Sukan Komuniti Krubong yang turut dihadiri Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Misbun Sidek.
Mengulas lanjut Shanmugam berkata pihaknya akan meneruskan usaha dengan merangka pelbagai perancangan lebih awal untuk kontinjen Melaka lebih bersedia dan memberi saingan pada edisi 2024.
Katanya antara fokus utama ialah mencari formula baharu untuk menarik lebih banyak syarikat yang terlibat dalam penajaan bagi membangunkan bidang sukan di negeri itu.
"Kita akui Melaka tidak mempunyai bajet iaitu hanya RM2.4 juta diperuntukkan untuk menghadapi Sukma kali ini.
"Dengan sumbangan penajaan itu mungkin kita boleh merangka program yang dapat mempertingkatkan prestasi selain menambah imbuhan kepada jurulatih dan atlet-atlet ," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial