EKONOMI

Panasonic perkenal 45 perkakas baharu berorientasikan masa depan

24/09/2022 12:59 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Panasonic Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan 45 barisan produk pengguna terkini dalam sembilan kategori sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk memberikan penyelesaian yang menjadikan kehidupan orang ramai lebih mudah, selamat, sihat, terhubung dan produktif.

Antaranya ialah peti sejuk, penapis air, periuk nasi, mesin basuh, pancuran mandian rumah, fon kepala, pembersih vakum dan kipas siling.

Pengarah Urusan Keisuke Nishida berkata Panasonic memberi penekanan yang tinggi dalam memperkayakan kesejahteraan yang menyeluruh dan membantu orang ramai menjalani kehidupan mereka yang terbaik melalui produk yang memberi manfaat dan berkualiti tinggi, diterajui oleh slogan jenama baharunya, “Create Today. Enrich Tomorrow”.

“Misi lama kami yang diperkenalkan oleh pengasas kami ialah syarikat kami perlu menyumbang kepada masyarakat. 

“Slogan baharu ini benar-benar mewakili matlamat kami untuk meningkatkan kualiti hidup orang ramai di seluruh dunia pada setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nishida berkata keluarga Malaysia merentasi generasi telah bergantung kepada Panasonic sebagai jenama yang dipercayai untuk memenuhi keperluan rumah dan gaya hidup mereka selama lebih daripada satu abad.

“Ini menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap jenama kami dan inilah yang mendorong dan memberi inspirasi kepada kami untuk terus mereka bentuk produk dan penyelesaian yang tepat yang memperkayakan kehidupan dan kesejahteraan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sembilan produk baharu Panasonic ialah Peti Sejuk Edisi PRIME+, Periuk Nasi Pemanas Induksi (IH) Rendah Gula, Pengion Beralkali serta Mesin Basuh dan Pengering.

Selain itu, ialah Pancuran Mandian Rumah Siri U, televisyen siri OLED 4K, Fon Kepala B100, Kipas Siling 5-bilah nanoe X dan Pembersih Vakum Kanister Tanpa Beg Cyclone.

Nishida berkata produk baharu itu, yang dilancarkan hari ini, termasuk dalam tiga bidang kesejahteraan iaitu kesejahteraan dalaman, luaran dan ruang.

“Menyumbang dan menambah nilai kepada kesejahteraan masyarakat yang menyeluruh menjadi asas kepada produk baharu. Kesejahteraan dalaman bermula dari dapur melalui pemakanan yang sihat manakala kesejahteraan luaran tertumpu kepada kebersihan fizikal.

“Kesejahteraan Ruang memberikan pengalaman terbaik dan menyediakan suasana di rumah yang selesa iaitu selamat dan bersih,” katanya, sambil menambah produk Panasonic secara keseluruhannya bertujuan untuk merealisasikan kesejahteraan holistik sebenar untuk orang ramai.

Produk baharu itu boleh didapati untuk pembelian di semua pengedar sah Panasonic dan platform dalam talian, kecuali mesin basuh, televisyen, fon kepala dan pengion beralkali yang boleh didapati pada Oktober.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan