SUKAN

Terengganu pulun emas sebelum Sukma menutup tirai esok

24/09/2022 12:47 AM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Sukan tinju menjadi tumpuan selepas Amirul Hakim Sakila, Halim Izani Sulaiman dan Wan Muhammad Haniff Wan Zahalan masing-masing menghadiahkan pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 buat Terengganu menerusi kategori berbeza hari ini.

Pada aksi final bertempat di Kompleks Futsal Precint 18, Putrajaya, dominasi dipamerkan petinju Terengganu itu sekali gus membantu kontinjen dari Pantai Timur kekal berada di kedudukan kedua terbaik secara keseluruhan dengan mengumpul 57 pingat emas.

Amirul Hakim terdahulu membuktikan kehandalannya selepas menewaskan petinju Johor Muhammad Haizad Haiqal Johan bagi kategori Light 57-60 kilogram (kg) lelaki diikuti Halim Izani yang menewaskan petinju Sarawak Mohd Helmi Cheng Mohd Firdaus bagi kategori Welter 63.5-67kg lelaki.

Penguasaan petinju Terengganu kemudian seakan tidak berpenghujung apabila giliran Wan Muhammad Haniff pula menyumbang emas menewaskan petinju Johor M. Kaushal Mogan dalam kategori cruiser 80-86 kg. 

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, teka-teki kontinjen mana yang bakal merangkul “ibu segala pingat” terjawab selepas Terengganu menewaskan Pulau Pinang 2-0 sekali gus menamatkan kemarau 12 tahun mereka untuk memperoleh pingat itu.

Memasuki hari terakhir Sukma diadakan esok, 31 pingat emas bakal menjadi rebutan kesemua kontinjen bagi menambah koleksi emas sedia ada mereka sebelum upacara penutupan pada sebelah malamnya.

Lima daripadanya adalah badminton, berbasikal (dua), boling padang (tujuh), pencak silat (sembilan), bola jaring (satu), kriket (satu), tinju (enam). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan