SINGAPURA, 23 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) dan Pihak Berkuasa Monetari (MAS) Singapura pada Jumaat mengumumkan inflasi teras MAS pada asas tahun ke tahun meningkat kepada 5.1 peratus pada Ogos berbanding 4.8 peratus pada bulan sebelumnya, lapor Xinhua.
Inflasi indeks harga pengguna (CPI) ke atas semua barangan meningkat kepada 7.5 peratus tahun ke tahun pada Ogos berbanding tujuh peratus pada Julai.
Inflasi teras MAS Singapura tidak termasuk kos kediaman dan pengangkutan persendirian, manakala CPI inflasi semua barangan mewakili peningkatan dalam indeks harga pengguna semua barangan.
Menurut MTI dan MAS Singapura, peningkatan inflasi teras pada Ogos itu sebahagian besarnya dipacu oleh peningkatan yang lebih besar dalam harga perkhidmatan dan makanan, Kenaikan CPI inflasi semua barangan pula menunjukkan inflasi lebih tinggi dalam pengangkutan, selain peningkatan dalam inflasi teras.
Mengikut perbandingan bulan ke bulan, CPI teras MAS Singapura dan CPI semua barangan masing-masing meningkat 0.5 peratus dan 0.9 peratus.
Kedua-dua pihak berkuasa itu menegaskan bahawa inflasi teras diunjur meningkat dalam tempoh dua bulan akan datang. Bagi setahun penuh, CPI inflasi semua barangan dijangkakan mencatat 5-6 peratus manakala inflasi teras MAS Singapura diunjurkan pada 3-4peratus.
MAS Singapura dan MTI juga berkata kejutan baharu ke atas harga komoditi global serta tekanan gaji domestik, terus mendorong kepada risiko peningkatan inflasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial