KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Faculty of Remote, Rural and Humanitarian Healthcare, Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) di Scotland Prof Dr Andrew Kent menjadi pakar perubatan kedua menerima anugerah Tuanku Muhriz Travelling Fellowship in Rural Surgery.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kenyataan memaklumkan perunding pembedahan ortopedik dan trauma di Scotland itu, yang juga Pengarah Pembedahan di UK-Med sentiasa terlibat dalam latihan dan kerja kemanusiaan seperti merawat pesakit di beberapa kawasan bergolak di seluruh dunia.
“Pada 2021, beliau berjaya menyelesaikan tugasan di Mosul, Iraq dengan membantu rakan sekerja menguruskan orang awam yang cedera di medan perang, malah baru-baru ini beliau terlibat dalam misi kemanusiaan dan perubatan di Ukraine.
“November ini, beliau akan ke Sabah untuk mendapatkan pemahaman lebih mendalam tentang pengurusan kes trauma di Borneo dan berkongsi mengenai perancangan bencana serta meneroka kawasan pedalaman yang akan diberikan rawatan pembedahan,” menurut kenyataan itu.
Tuanku Muhriz Travelling Fellowship in Rural Surgery ialah program kerjasama strategik antara RCSEd dengan UKM dan fellowship itu dianugerahkan oleh the Royal College of Surgeons of Edinburgh dalam bentuk program dengan kerjasama UKM dan Kementerian Kesihatan (KKM) selari dengan inisiatif Global Surgery KKM.
Program fellowship itu diperkenankan penubuhannya oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang juga Canselor UKM semasa pembukaan Pejabat Antarabangsa RCSEd pada 17 Jan 2018 di Advanced Surgical Skills Centre (ASSC), UKM.
Fellowship itu dianugerahkan kepada pakar bedah kanan dari United Kingdom ke Malaysia, untuk menimba pengalaman penjagaan kesihatan luar bandar yang menyediakan perkhidmatan pembedahan kepada masyarakat terpinggir.
Penerima juga akan terlibat dalam sesi pengajaran dan latihan kepada pegawai perubatan dan staf kesihatan di klinik kesihatan luar bandar.
Berangkat ke majlis penganugerahan yang berlangsung di RCSEd, Scotland baru-baru ini bersempena dengan Tuanku Muhriz Travelling Fellowship Lecture ialah Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud selain dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial