KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Majlis itu dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dicapai dalam mesyuarat hari ini yang meneliti dan membincangkan permohonan keanggotaan MUDA serta hasrat Parti PSM untuk bekerjasama dengan PH secara rasmi.
Menurut kenyataan itu jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponen PH iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Steven Sim Chee Keong (DAP), Mohd Hasbie Muda (Amanah) dan Datuk Ewon Benedick (UPKO).
“Hasrat MUDA dan PSM ini bererti, parti-parti yang bersedia berpegang pada prinsip-prinsip dan berada di landasan yang sama dengan PH dapat dirangkul kekuatan bagi menghadapi PRU15. Pada masa yang sama, pertembungan kerusi pada PRU15 akan dapat dielakkan,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, media melaporkan MUDA telah menghantar permohonan parti itu untuk menyertai PH secara rasmi manakala PSM turut menyatakan hasrat untuk menjalinkan pakatan pilihan raya dengan gabungan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial