AM

Premis awam, sekolah berasrama dengan fasiliti lengkap sebagai pilihan utama PPS kuat kuasa 1 Okt

21/09/2022 05:44 PM

PUTRAJAYA, 21 Sept (Bernama) -- Kebenaran telah diberikan kepada penggunaan premis-premis awam dan sekolah-sekolah berasrama yang mempunyai fasiliti yang lengkap dan selesa sebagai pilihan utama pusat pemindahan sementara (PPS) berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Setiausaha Jemaah Menteri merangkap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata kebenaran itu diberikan oleh Kementerian Pendidikan dan agensi berkaitan sebagai kesiapsiagaan bagi menghadapi monsun timur laut.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini agar operasi penempatan mangsa banjir dilaksanakan dengan mengambil kira keselesaan dan kebajikan Keluarga Malaysia secara keseluruhannya.

"Sehubungan itu bagi memastikan kelancaran operasi di lapangan, Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20 telah menetapkan bahawa Pegawai Daerah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mempunyai kuasa untuk mengenal pasti dan mengisytiharkan mana-mana premis awam dan sekolah terutamanya sekolah berasrama untuk dijadikan sebagai PPS," katanya dalam  kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zuki berkata pelbagai agensi kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat sentiasa bekerjasama dengan erat untuk terus meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang bencana. 

“Ini bagi memastikan Keluarga Malaysia yang terkesan mendapat penempatan yang selesa, perlindungan yang selamat serta kebajikan yang terjamin sepanjang berada di PPS,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan