KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) --Penerjun negara, Gabriel Gilbert Daim nyata berada pada kelas tersendiri apabila mempertahankan pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal individu, sekali gus emas keduanya pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20.
Pada aksi di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini, penerjun berusia 20 tahun dari Sabah itu menguasai saingan dengan mengutip 390.30 mata, mengatasi dua rakan sepasukan negara untuk pingat emas keempat Sukma sejak membuat penampilan sulung pada edisi 2016 di Sarawak.
Penerjun Sarawak, Bertand Rhodict meraih pingat perak (353.95) manakala wakil Wilayah Persekutuan, Hanis Nazirul Jaya Surya mengutip gangsa dengan 348.60 mata.
Semalam, Gabriel, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, meraih emas pertama pada Sukma kali ini menerusi gandingannya dengan Julfaddli Jali dalam acara 3m papan anjal seirama biarpun kedua-dua penerjun itu hanya kali pertama berganding dan sempat berlatih bersama selama sehari.
“Saya berpuas hati dengan prestasi saya pada Sukma terakhir ini, walaupun ada sedikit kesilapan. Agak gementar tetapi saya mampu mengawal perasaan dan lakukan terjunan lebih baik.
“Saya melihat banyak penerjun boleh beri saingan dan tahap kesukaran penerjunan pun agak tinggi. Dulu untuk sampai ke tahap kebangsaan memang susah tapi sekarang kebanyakan penerjun di negeri sudah mula melakukan aksi terjunan dengan tahap kesukaran yang tinggi,” katanya kepada pemberita.
Katanya, beliau akan mengambil bahagian pada Kejohanan Grand Prix FINA Kuala Lumpur di venue sama, mulai 25 hingga 27 Nov ini
Sementara itu, Hanis Nazirul turut mengekalkan pingat emas acara 1m papan anjal dengan mengutip 325.05 mata manakala pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Bertrand (318.80) dan penerjun Wilayah Persekutuan, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dengan 268.40 mata.
“Saya sangat gembira dapat mempertahankan emas acara 1m papan anjal. Selepas ini saya berharap untuk menang pingat di Sukan Asia tahun depan dan layak ke Olimpik Paris 2024,” kata Hanis Nazirul.
Acara terjun Sukma akan melabuhkan tirainya esok dengan acara platform lelaki.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial