AM

Insentif baucar pembelian produk kraf tempatan diteruskan mulai 16 Sept - MOTAC

18/09/2022 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) --  Insentif baucar pembelian produk kraf Malaysia sekali lagi diteruskan bagi menggalakkan pembelian produk kraf tempatan mulai 16 Sept ini sempena sambutan Hari Malaysia, dengan peruntukan RM3 juta disediakan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 itu dianjurkan kembali susulan kejayaan inisiatif sama sebelum ini yang memberi manfaat langsung kepada komuniti kraf dengan janaan nilai jualan RM21.7 juta.

Menurutnya di bawah inisiatif sama awal tahun ini, MOTAC melalui Kraftangan Malaysia menyediakan insentif baucar sebanyak RM3.8 juta kepada orang ramai dengan baucar bernilai RM30 diberikan bagi setiap gandaan RM100.

Untuk kali ini baucar berkenaan boleh digunakan di program promosi anjuran Kraftangan Malaysia seperti Festival Kraf Borneo di Sabah; Festival Kraf Tekstil Borneo di Sarawak, Festival Kraf Johor dan Festival Kraf Langkawi; pusat jualan kraf serta galeri di Kraftangan Malaysia cawangan negeri seluruh Malaysia;

Selain itu ia juga boleh digunakan di program promosi anjuran Kompleks Kraf Kuala Lumpur; Kompleks Kraf Langkawi dan Kompleks Kraf Johor; serta semua outlet Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd (KARYANEKA) seperti di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Kompleks Kraf Johor, Kompleks Kraf Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Langkawi serta Parlimen dan platform digital MYCRAFTSHOPPE dan KARYANEKA.

MOTAC berharap inisiatif dilaksanakan kerajaan melalui Kraftangan Malaysia ini dapat merancakkan semula industri kraf negara di samping membantu usahawan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi mereka.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan