EKONOMI

Asian Supply Base buat kali pertama sertai acara OGA X MOGSEC dan PSC 2022

15/09/2022 07:02 PM

LABUAN, 15 Sept (Bernama) -- Hab logistik bersepadu sepenuhnya bagi aktiviti berkaitan minyak dan gas (O&G) Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) buat julung kalinya mewakili Sabah ke Pameran Minyak dan Gas Asia, Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia dan Persidangan Kelestarian Petrokimia (OGA X MOGSEC dan PSC) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, berakhir hari ini.

Edisi ke-18 yang diadakan bermula 13 hingga 15 Sept, anjuran bersama oleh Informa Markets Malaysia, Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) dan Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA) itu memaparkan peluang pelbagai sektor ekonomi berkaitan O&G di Malaysia.

Ia turut menyaksikan penglibatan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa dari lapan negara seperti Korea Selatan, Scotland, Singapura, Indonesia, United Kingdom, Itali, Jerman dan Amerika Utara serta menerima sambutan menggalakkan daripada pemain industri domestik dan luar negara. 

Ketua Pegawai Eksekutif ASB Japar Esteban dalam kenyataan kepada Bernama hari ini berkata, syarikat itu dalam usaha meneroka potensi sebagai pembekal perkhidmatan logistik komersial selain menambah dan mempelbagaikan jenis perniagaan dan perkhidmatan di pangkalan ASB. 

“ASB juga bersedia untuk meluaskan saiz operasi pangkalan sedia ada yang berkeluasan 139.61 hektar, selari dengan keperluan dan permintaan daripada pelanggan yang semakin meningkat. 

“Melalui usaha penambahbaikan dan peningkatan kadar kecekapan dan produktiviti operasi ASB, saya yakin ASB mampu menjadi syarikat logistik pilihan dalam kalangan syarikat O&G yang menjalankan aktiviti di perairan Sabah, Sarawak, Brunei dan Filipina,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan