EKONOMI

Indonesia pelawa pelabur manfaatkan lembangan belum diteroka di negara itu

14/09/2022 09:29 AM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Indonesia sedang menarik pelabur berpotensi untuk memanfaatkan lembangan di negara itu yang belum diteroka dalam usahanya menghasilkan sejuta tong minyak setiap hari dan 12 bilion kaki padu standard gas setiap hari menjelang 2030.

Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia Arifin Tasrif berkata walaupun negara itu yakin tenaga boleh diperbaharui akan memainkan peranan penting pada masa depan, Indonesia akan terus memaksimumkan sumber minyak dan gas (O&G) bagi memastikan keselamatan dan kemampuan tenaga, di samping meneruskan matlamat pelepasan sifar bersih.

“Kami juga percaya kepulauan ini masih menawarkan sumber yang menarik berikutan ketika ini, pengeluaran O&G hanya dihasilkan oleh 20 daripada 128 lembangan, manakala 68 lembangan belum diteroka,” katanya.

Teks ucapan Arifin sempena pelancaran Minyak dan Gas Asia (OGA) 2022, Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC) dan Persidangan Kemampanan Petrokimia (PSC) hari ini dibacakan oleh Pengerusi Perniagaan Minyak dan Gas Huluan Pasukan Petugas Khas Indonesia Dwi Soetjipto.

Sektor O&G akan kekal relevan terutamanya bagi gas berikutan ia memainkan peranan lebih strategik dalam peralihan tenaga, kata Arifin sambil menyatakan cabaran kini tertumpu untuk mengenal pasti kaedah bagi meningkatkan pengeluaran, dan pada yang masa sama untuk mengurangkan pelepasan.

“Kami juga telah melancarkan aktiviti cari gali untuk menggunakan rizab O&G bukan konvensional kami. Kami juga mengakui bahawa membangunkan sumber bukan konvensional adalah mencabar. Justeru, kami menjalankan satu kajian untuk menyediakan terma fiskal yang menarik bagi projek-projek ini,” katanya.

Beliau menegaskan kerjasama kukuh daripada semua pihak berkepentingan adalah diperlukan untuk mencapai sasaran ini melalui potensi kerjasama dari segi pembiayaan, penyelidikan, teknologi serta pembangunan sumber manusia.

“Bagi pihak kami, kami akan terus berusaha untuk menambah baik iklim pelaburan dan kami mengakui bahawa industri O&G huluan -- terutamanya dalam fasa penerokaan -- memberikan risiko pelaburan yang besar.

“Pada 2019 dan 2020, kami menjalankan tinjauan seismik 2D yang terbesar setakat ini, menjangkau 32,200 kilometer dan meliputi 35 lembangan. Data berkenaan kini tersedia untuk mereka yang berminat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan