EKONOMI

Bubbles O2 rancang kembang kehadiran di pasaran luar negara tahun depan

09/09/2022 03:26 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu & Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Bubbles O2 Sdn Bhd, pengeluar Bubbles O2 -- satu-satunya produk air mineral beroksigen semula jadi di Malaysia merancang mengembangkan kehadiran jenamanya di pasaran antarabangsa pada awal tahun depan.

Pengarah Urusannya Ain Azizah Arifin berkata syarikat itu akan meneroka pasaran baharu seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan negara-negara Timur Tengah. 

“Buat masa ini, Bubbles O2 dipasarkan di Brunei, dan kami merancang untuk mengembangkan pasaran antarabangsa kami. Ketika ini kami mengaktifkan syarikat kami Bubbles O2 US menjadi platform untuk mengeksportkan produk kami ke pasaran AS dan juga pasaran lain,” katanya kepada Bernama pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia edisi ke-18 (MIHAS 2022).

Ain Azizah berkata jualan produknya di pasaran Brunei pada 2021 menyumbang lima peratus kepada hasil syarikat.

Syarikat itu menyasar meningkatkan sumbangan daripada segmen eksport sebanyak 20 hingga 30 peratus menjelang 2025, sejajar dengan pelan lima tahunnya.

Pada 2021, Bubbles O2 merekodkan hasil sebanyak RM3.75 juta menerusi jualan di pasaran domestik. 

“Bagi pasaran domestik, kami menyasar menjual produk kami di kedai serbaneka seperti 7Eleven, LULU dan beberapa stesen minyak seperti Shell, BHP dan Petron dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Pada 8 Sept, syarikat itu melancarkan produk baharunya -- Bubbles O2 Flavoured Mineral Water (Air Mineral Berperisa BubblesO2).

Beliau berkata pelancaran produk baharu ini adalah susulan hasrat syarikat tersebut untuk menghasilkan produk yang disasarkan kepada mereka yang mahukan alternatif lebih sihat berbanding minuman berperisa bergula serta bagi mereka yang menantikan produk berperisa berasaskan Bubbles O2.

Dengan meluaskan penawaran produknya kepada segmen air mineral berperisa, syarikat itu dapat memanfaatkan pengembangan ke dalam kategori air mineral berperisa kerana sektor ini menyumbang bahagian yang besar dalam industri air berbotol serta mengikut trend pelanggan yang dilihat semakin memilih minuman sihat berbanding minuman ringan berkarbonat, katanya. 

Pada MIHAS 2022, Bubbles O2 memeterai kerjasama dengan AEON BiG Sdn Bhd untuk memasarkan Bubbles O2 Flavoured Mineral Water di cawangan pasar raya besar AEON Big di seluruh negara.

Ain Azizah berkata kerjasama itu terjalin hasil daripada usaha kedua-dua syarikat untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik rakyat Malaysia tentang pelbagai kualiti dan fungsi air mineral dan segmen minuman sihat. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan