EKONOMI

SERBA DINAMIK DINOBAT SYARIKAT MINYAK DAN GAS, TENAGA PALING MAMPAN TERBAIK OLEH PENERBITAN DIGITAL UAE

08/09/2022 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Serba Dinamik Holdings Bhd dinobatkan sebagai Syarikat Minyak dan Gas dan Tenaga Paling Mampan Terbaik oleh syarikat penerbitan digital Emiriah Arab Bersatu (UAE), International Business Magazine.

Anugerah itu adalah sebahagian daripada program Anugerah Perniagaan Antarabangsa International Business Magazine 2022.

International Business Magazine berkata operasi Serba Dinamik sepanjang 29 tahun sejak 1993 dipandang tinggi dalam kecekapan mereka dalam empat perniagaan terasnya, iaitu operasi dan penyelenggaraan; kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan; teknologi maklumat dan komunikasi, serta pendidikan dan latihan.

“Syarikat itu berkhidmat di 21 negara; bukanlah satu tugas yang mudah untuk mengekalkan tahap kecemerlangan yang tinggi dalam banyak bidang, tetapi Serba Dinamik Group berjaya melakukannya,” katanya dalam blognya.

Antara projeknya pada separuh pertama 2022 ialah pertanian menegak pintar, menggunakan teknik pertanian tertutup dan teknologi pertanian persekitaran terkawal di UAE.

Tanaman itu bebas racun perosak kerana ditanam dalam persekitaran terkawal iklim tertutup yang memberikannya anggaran margin hasil kasar sebanyak 40 peratus.

“Serba Dinamik juga menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat di Bahrain untuk menerajui projek tenaga solar yang dijangka menyediakan kapasiti tahunan sebanyak 25 megawatt.

“Ia akan mengambil kira-kira 80,000 panel solar Bahrain untuk memenuhi piawaian global yang tinggi, dengan rancangan selanjutnya untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan