IPOH, 7 Sept (Bernama) -- Pengeluar makanan ternakan ayam kampung jenama Alma, FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF) sedang meneroka pasaran Perak menerusi rangkaian pengedaran sedia ada dalam usaha mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan ayam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad (FGV) Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor berkata langkah itu turut dilakukan melalui kerjasama rakan strategik seperti Felda, Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
“FGVIF sedang giat memperluas rangkaian pengedar bagi memastikan produk Alma mudah didapati di pasaran Perak dan seluruh negara.
“Bagi pasaran Perak, langkah pertama adalah menggunakan rangkaian pengedaran sedia ada sebelum mengembangkan pasaran melalui program promosi yang disasarkan kepada peneroka-peneroka Felda dan FGV seterusnya kepada pengguna di luar sana,” katanya dalam temu bual dengan Bernama menerusi e-mel.
Mohd Nazrul Izam berkata pada masa ini pihaknya sedang memperkukuh jenama Alma dengan menembusi pasaran sedia ada di lokasi berhampiran kilang pemprosesan makanan ternakan ayam kampung itu di Muar, Johor sebelum ke Perak dan negeri lain.
Beliau berkata pihaknya turut menyediakan khidmat penghantaran dengan kos berpatutan khususnya kepada pelanggan di luar kawasan Lembah Klang selain sentiasa memastikan bekalan dari kilang mencukupi bagi menampung permintaan pasaran domestik dan eksport.
Mengenai cabaran dalam membangunkan jenama Alma, Mohd Nazrul Izam berkata FGVIF masih di peringkat awal dalam memasuki pasaran penghasilan makanan ternakan ayam yang kebanyakan pesertanya terdiri daripada ‘integrator’.
“Setakat ini, FGVIF masih belum menjadi ‘integrator’ dan kami sedang giat berusaha ke arah itu,” katanya dan menambah Alma sentiasa mengutamakan penghasilan produk yang berkualiti tinggi dengan harga berpatutan.
Mengulas inisiatif melibatkan kerjasama strategik bersama Bernas, beliau berkata ia menggunakan produk sampingan daripada beras yang kemudian diformulasikan FGVIF dalam penghasilan makanan ternakan ayam kampung sekali gus kerjasama tersebut dapat meningkatkan daya saing Alma di pasaran.
“Sebagai syarikat terkemuka di Malaysia dan antarabangsa, FGV menetapkan satu daripada objektif utama kami untuk menyokong agenda sekuriti makanan negara. Ini bagi memastikan kelangsungan bekalan bagi pasaran makanan ternakan dan menstabilkan harga bekalan makanan.
“Dalam usaha FGV menyokong Sekuriti Makanan Negara dan Dasar Agromakanan Negara, kami akan terus menghasilkan makanan ternakan yang berkualiti tinggi dengan menggunakan bahan mentah tempatan dan beransur-ansur mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah import seperti jagung dan kacang soya,” katanya.
Dilapor pada 10 Ogos, FGV melalui anak syarikatnya FGVIF melancarkan makanan ternakan ayam kampung di bawah jenama Alma yang merupakan sebahagian daripada usaha Kumpulan untuk menyumbang kepada agenda Sekuriti Makanan Negara dan Dasar Agromakanan Negara.
Penghasilan makanan ternakan ayam kampung daripada formulasi baharu menggunakan produk sampingan kilang pemprosesan padi dan beras itu telah dibangunkan bersama FGV dengan Bernas.
Pengarah Urusan Kumpulan Bernas Datuk Haris Fadzilah Hassan dilapor berkata inisiatif tersebut dijangka mengurangkan sebanyak 10 peratus kos pengeluaran dengan menggantikan komponen bijirin jagung yang diimport.
Dilapor, Malaysia ketika ini mengeluarkan kira-kira lapan juta ekor ayam kampung setiap tahun dan hampir 10 peratus daripada pengeluaran itu dieksport ke Singapura, manakala selebihnya diedarkan di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang.
Potensi bekalan makanan ternakan untuk industri ini dijangka mencapai sebanyak 32,000 tan metrik setahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial