AM

Masyarakat perlu guna SisPAA KKM bantu tingkatkan perkhidmatan

31/08/2022 04:44 PM

MELAKA, 31 Ogos (Bernama) -- Rakyat Melaka diseru menggunakan Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) Kementerian Kesihatan (KKM) dalam membantu meningkatkan perkhidmatan dan fasiliti hospital serta klinik kerajaan di negeri itu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata masih ramai yang tidak tahu menggenai sistem itu malah lebih cenderung menggunakan sosial media dalam meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap perkhidmatan yang diterima melalui fasiliti KKM.

"Jika ada sebarang aduan yang bukan saja sektor kesihatan tetapi juga semua sektor, saya menyeru agar guna laman web SisPAA ini supaya kita dapat aduan terus daripada rakyat. Tidak perlu takut untuk buat aduan dalam sistem ini.

"Saya sendiri menerima aduan yang disalurkan kepada kami melalui sistem ini berkaitan hospital dan klinik kesihatan yang ada masalah tertentu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir ke Program Bayi Merdeka di Hospital Melaka di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali melawat sembilan bayi yang dilahirkan pada Hari Kebangsaan hari ini di hospital berkenaan. 

Dr Muhamad Akmal berkata setakat ini segala aduan yang diterima telah diambil tindakan sewajarnya, mengikut tindakan jangka masa pendek dan panjang.

Menurutnya maklum balas yang diterima setakat ini mengenai aduan yang disalurkan melalui sistem tersebut sangat bagus, malah sampai pada bahagian atau jabatan yang sepatutnya dengan pantas dan berkesan.

"Rata-rata aduan terus sampai. Di peringkat porfolio saya pun, saya akan ambil aduan itu seminggu sekali untuk tengok berapa aduan yang ada, telah terima dan diambil tindakan.

"Di Hospital Melaka contohnya, kita terima pelbagai jenis aduan yang kebanyakannya mengenai perkhidmatan dan fasiliti. Jadi, di sini pentingnya aduan tersebut kerana ia menjadi platform untuk pihak yang diadu menambah baik perkhidmatannya," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui aduan yang diterima tidak semestinya boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam, tetapi sekurang-kurangnya pihak kerajaan negeri dan exco berkaitan sedar masalah yang ada.

"Kami tak mampu nak jaga semua tapi dengan adanya sistem aduan ini, ia akan menyedarkan permasalahan yang wujud dan membantu kami menyediakan yang lebih baik kepada rakyat," katanya. 

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan