AM

22 pendaki Kinabalu OKU Challenge 2022 mulakan misi tawan puncak Kinabalu

30/08/2022 07:35 PM

Oleh Fadzli Ramli

RANAU, 30 Ogos (Bernama) -- Seramai 22 peserta termasuk enam pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) bagi Ekspedisi Kinabalu OKU Challenge 2022 memulakan pendakian mereka dari Timpohon Gate di sini pada 9 pagi tadi, bagi misi menawan puncak Gunung Kinabalu.

Peserta ekspedisi anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, dijadual tiba di Laban Rata lewat hari ini, sebelum meneruskan pendakian dan dijangka sampai di puncak setinggi 4,095 meter itu pada awal pagi esok sempena Hari Kebangsaan 2022.

Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM Prof Madya Dr Zulkifli Hasan, yang mengetuai ekspedisi itu, berkata pendakian tersebut merupakan kemuncak kepada persediaan yang telah dilakukan oleh para peserta sejak beberapa bulan lepas.

Katanya persediaan yang dilakukan bukan sahaja berbentuk fizikal seperti latihan mendaki gunung dan  bukit di Semenanjung, malah dari segi kekuatan minda terutama dalam kalangan pendaki OKU kerana ia membabitkan pendakian ke puncak sejauh 8.7 kilometer.

“Melalui ekspedisi ini kami ingin membawa mesej kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai aspek keterangkuman iaitu kepentingan golongan OKU perlu turut difikirkan dalam setiap dasar yang dibuat.

“Sempena sambutan Hari Kebangsaan pula kami berharap konsep 'rahmatan lil alamin’ (rahmat untuk semua) dapat dihayati untuk kita bersama-sama menikmati kemerdekaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM Prof Madya Dr Mohd Nizam Barom, yang merupakan OKU penglihatan, berkata ekspedisi itu merupakan satu pengalaman pendakian yang unik bagi golongan OKU sepertinya.

“Pengalaman pendakian ini sesuatu yang kami tidak pernah impikan boleh berlaku, jadi kami sangat teruja dan bersemangat. Memang mulanya agak gementar tetapi setelah menjalani latihan bersama pendaki lain, kami rasa telah bersedia,” katanya.

Menurutnya walaupun sebelum ini tiada pengalaman mendaki, tidak menjadi penghalang untuk beliau menyertai ekspedisi itu dan berharap dapat menawan puncak Gunung Kinabalu sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

Seorang lagi peserta, Khairull Hafiz Ismail berkata melalui ekspedisi itu beliau mahu membuktikan bahawa golongan OKU sepertinya juga mampu menawan puncak tertinggi di Malaysia itu. 

“Harapan saya melalui ekspedisi ini supaya masyarakat tidak lagi memandang rendah kepada golongan OKU dan mereka akan terus diberi peluang menyertai program seperti ini di masa hadapan,” katanya yang mengakui ketidaan kaki kiri tidak menghalangnya melakukan persediaan rapi.

Khairull Hafiz yang juga pegawai kelestarian daripada Persatuan OKU Sentral berkata sebagai persediaan, beliau telah melakukan latihan larian dan berbasikal setiap hari untuk meningkatkan stamina selain latihan mendaki.

Sementara itu, Ketua Unit Perkhidmatan OKU UIAM Profesor Dr Ruzita Mohd Amin berkata ekspedisi itu dianjurkan sempena ulang tahun ke-40 universiti tersebut dan diinspirasikan oleh bekas pelajar UIAM, Azzrulkhan Hasrullah Matsah yang berjaya mendaki Gunung Kinabalu pada 2016 dan Everest Base Camp pada 2018 meskipun dalam keadaan kakinya yang lumpuh.

“Kami harap program ini dapat membuktikan bahwa golongan OKU  juga mampu berjaya dan melakukan apa sahaja yang boleh dilakukan oleh bukan OKU, kita mahu bawa mesej keterangkuman untuk semua,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan