Oleh Linda Khoo Hui Li
BANGKOK, 29 Ogos (Bernama) -- Pengilang kontrak dalam industri pertahanan dan komersial Malaysia MRA Global Sdn Bhd (MRA) pada Isnin memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Thai Defence Industry Co. Ltd (TDI) untuk mengenal pasti peluang perniagaan dan meneroka kebolehlaksanaan kerjasama di Malaysia untuk program lanjutan hayat Kenderaan Tempur Infantri Berjentera (MIFV).
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) Datuk Seri Muez Abd Aziz menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu di luar ekspo Pertahanan & Keselamatan 2022 di Pusat Pameran dan Konvensyen IMPACT di Bangkok.
Pengarah Urusan TDI Kan Koolhiran dan pengasas MRA Badrul Hisham Ahmad Badarudin menandatangani MoU itu.
TDI, menjalin kerjasama dengan Institut Teknologi Pertahanan (DTI) dan Chaiseri Metal & Rubber Co. Ltd (Chaiseri), iaitu syarikat pengeluar senjata Thailand yang khusus dalam Sistem Pertahanan Darat untuk kenderaan berperisai.
Ia terlibat dalam perniagaan membabitkan reka bentuk, pembangunan, pembuatan, naik taraf, pemodenan, pembaikan dan khidmat selepas jualan produk platform sistem darat.
Di bawah MoU itu, TDI akan menggunakan kepakarannya untuk merekabentuk teknologi terbaik yang sesuai dengan program Lanjutan Hayat MIFV Tentera Darat Malaysia daripaa segi teknikal dan komersial.
Sementara itu, Badrul Hisham berkata kerjasama itu menggalakkan pemindahan teknologi serta perkongsian ilmu dan kepakaran.
“Kerajaan Malaysia dan Thailand mengalu-alukan kerjasama itu kerana ia akan mengukuhkan industri pertahanan.
“Menerusi perkongsian ini, ia akan memacu industri pertahanan Malaysia ke era baharu,” katanya kepada Bernama.
Badrul Hisham juga berharap kerjasama itu akan membuka jalan untuk membantu Chaiseri menubuhkan unit pengeluarannya di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial