JOHOR BAHRU, 27 Ogos (Bernama) -- Cawangan pertama Pusat Interaksi Belia Etiqa Cares di Johor yang dibuka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini, bakal memberi manfaat kepada lebih 8,000 anggota komuniti, khususnya golongan belia.
Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Bahagian Selatan Etiqa Azizah Ahmad berkata inisiatif dengan kerjasama Adab Youth Garage (AYG) itu merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi membantu pembelajaran belia dalam mempersiapkan mereka untuk masa depan.
Beliau berkata kemudahan yang pertama kali diwujudkan di PPR itu dilihat dapat membantu meningkatkan lagi kualiti pembelajaran golongan berkenaan.
“Dengan memberikan mereka peluang ini, visi korporat kami iaitu ‘Making the World a Better Place’ kelihatan amat jelas di masa hadapan.
“Program ini juga adalah bukti keprihatinan untuk meningkatkan kualiti kehidupan, sosial dan ekonomi masyarakat yang memerlukan bantuan di bawah slogan program CSR Etiqa Cares,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian pusat itu, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AYG Muhammad Nizam Samsudin.
Menurut Azizah, pusat tersebut menyediakan ruang selamat yang boleh memuatkan lebih 20 orang pada satu masa, kelengkapan elektronik, Internet dan perpustakaan mini serta aktiviti menarik dikelolakan oleh AYG.
Sementara itu, Muhammad Nizam berkata pelbagai aktiviti akan dijalankan di pusat tersebut termasuk kelas tambahan, belajar berkumpulan, sesi mengulang kaji pelajaran bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), motivasi dan teknik menjawab soalan.
Katanya, pusat yang akan dipantau oleh pekerja AYG itu adalah usaha bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan korporat dalam membantu anak-anak daripada golongan kurang berkemampuan atau B40 mendapatkan fasiliti pembelajaran serta bersosial bersama rakan secara positif.
“Kami dari pihak NGO amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan sebuah syarikat hebat seperti Etiqa. Semoga hasil usaha ini menjadi contoh yang baik kepada syarikat yang lain,” katanya.
Terdahulu, majlis perasmian itu dimeriahkan dengan konvoi motosikal sambil mengibarkan Jalur Gemilang serta pertandingan pakaian beragam sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022.
Pusat Interaksi Belia Etiqa Cares telah diwujudkan di beberapa lokasi di Selangor iaitu di PPR Kota Damansara, PPR Taman Medan Jaya, Petaling Jaya dan PPR Kampung Baru HICOM, Shah Alam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial