AM

Belanjawan 2023: MARA mohon peruntukan RM1 bilion bangunkan usahawan

25/08/2022 07:18 PM

KUALA PILAH, 25 Ogos (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) memohon peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada kerajaan menerusi Belanjawan 2023 bagi melaksanakan pelbagai program keusahawanan di seluruh negara dalam usaha meningkatkan daya saing usahawan tempatan.

Pengerusinya Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata peruntukan itu akan digunakan sepenuhnya bagi membantu usahawan bumiputera termasuk membabitkan pembiayaan, latihan, geran pendigitalan, pemasaran dan khidmat nasihat.

“Pada tahun ini, MARA peruntukkan kira-kira RM450 juta untuk bantu usahawan dalam pelbagai bidang kemahiran. Ramai yang dah berjaya termasuk dalam bidang bitumen, automotif, perhotelan dan tekstil, saya juga telah adakan beberapa lawatan seperti di Kedah, Johor dan Sabah.

“Kita juga mohon kerajaan beri lebih peruntukan bagi DanaNITA (Skim Pembiayaan Perniagaan khas Wanita) untuk membantu kira-kira 30,000 usahawan wanita di seluruh negara, kita mahu mereka aktif hingga ke peringkat global,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kedai emas di sini hari ini.

Beliau berkata MARA juga telah menubuhkan jawatankuasa di bawah agensi itu selain satu pusat di Universiti Kuala Lumpur khusus untuk membantu memperkasakan golongan wanita dari segi penyediaan latihan dan khidmat nasihat.

Dalam pada itu, Azizah berkata di Negeri Sembilan sebanyak RM960,000 diperuntukkan bagi pembangunan keusahawan kepada 305 usahawan termasuk dari segi kemudahan latihan, program peningkatan perniagaan dan program pendigitalan.

Beliau berkata lebih RM40 juta pula diperuntukkan bagi kemudahan pembiayaan kepada 330 usahawan manakala RM360,000 untuk pembangunan pendidikan yang memanfaatkan 1,105 pelajar setakat bulan lepas.

“Seiring dengan pembangunan keusahawanan, pembangunan pendidikan di Negeri Sembilan juga mendapat sambutan dalam kalangan usahawan melalui penglibatan mereka membantu program berbentuk khidmat masyarakat dan sumbangan melalui Yayasan Pelajaran MARA (YPM),” katanya.

Beliau berkata setakat Julai lepas, seramai 11 usahawan menyumbang sebanyak RM99,000 kepada program pembangunan pendidikan seperti program tuisyen harapan, program celik al-Quran, program skim anak angkat, bantuan one off persekolahan dan sumbangan lain kepada 327 pelajar melalui YPM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan