AM

Papan tanda sejarah masih relevan demi warisan bangsa

25/08/2022 10:14 AM

Oleh Mohd Faizal Hassan

IPOH, 25 Ogos (Bernama) --  Kepesatan pembangunan dan kecanggihan teknologi bukan penghalang kepada usaha memartabatkan pemasangan papan tanda maklumat berkaitan sejarah dan perang sekali gus memupuk minat serta kesedaran masyarakat terhadap peristiwa penting negara.

Papan tanda sejarah berkenaan relevan dan menarik kerana bukan sahaja mengandungi maklumat berkaitan peristiwa penting yang pernah berlaku, malah turut disertakan dengan gambar lama dan peta bagi memberi lebih kefahaman.         

Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya Shaharom Ahmad berkata kehadiran atau kewujudan papan tanda sejarah penting kerana ia menunjukkan lokasi tapak sejarah secara fizikal sekali gus memberikan kelebihan kepada kawasan tersebut dan sekitarnya untuk dikenali.

Beliau berkata papan tanda tersebut juga membantu dari segi promosi kerana kewujudannya membuatkan orang ramai dan masyarakat sedar kepentingan tapak berkenaan dari segi sejarah.

“Bila kita sebut mengenai sejarah, biasanya kita akan merujuk apa yang terkandung dalam buku teks sekolah, catatan tahanan, ensiklopedia atau melalui telefon pintar.

“Kecanggihan teknologi itu membolehkan peristiwa berkaitan sejarah diakses semudah di hujung jari dan difahami terutama oleh golongan muda yang memerlukan pendedahan berkaitan nilai sejarah negara, namun ia bukan halangan untuk kami meneruskan usaha memasang papan tanda sejarah fizikal ini,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya kehadiran papan tanda sejarah itu juga sedikit sebanyak membuka mata masyarakat dalam mengingati dan mengenali dengan lebih mendalam sejarah di kawasan mereka, selain menjaganya (papan tanda berkenaan) daripada dicuri dan dijual sebagai besi buruk.

Shaharom berkata sehingga kini, sebanyak 10 papan tanda sejarah dipasang di seluruh negara dan pihaknya merancang untuk memasang lebih banyak papan tanda mengikut bajet serta sumbangan orang ramai.

Katanya antara yang telah dipasang adalah papan tanda Jambatan Kuala Dipang, pembinaan Jambatan Victoria, Perang Dunia Kedua 'Battle of Kampar' di Green Ridge,  'Battle of Slim' yang kesemuanya di Perak dan pendaratan pertama Jepun di Tanah Melayu di pekarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi, Shaharom  berkata ia lebih kepada tentang kesedaran masyarakat dalam mengenal pasti, menjaga tapak sejarah termasuk berkaitan sentimen penjajah terutama dalam setiap tapak sejarah perang.

“Pendidikan dan pendedahan kepada masyarakat penting. Ini juga antara sebab persatuan kami ditubuhkan iaitu bagi memberi pendedahan kepada masyarakat yang belum mengenali sejarah terutama sejarah ketenteraan, selain memupuk kesedaran kepada generasi muda agar menghormati dan mempelajari sejarah negara dengan lebih dekat.

“Sebab itu banyak aktiviti yang kami buat lebih kepada mendekati golongan tersebut dalam bentuk pameran dan pendedahan di ruangan media sosial, selain mengadakan siri jelajah pameran, bual bicara atau kempen gotong-royong.

“Kami juga mendekatkan diri dengan teknologi semasa seperti TikTok, Instagram and Youtube bagi tujuan yang sama kerana golongan muda lebih suka melihat sesuatu terutama sejarah dari sudut begini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merancang untuk mengadakan lebih banyak sesi pameran terutama di sekolah sempena Bulan Kemerdekaan tahun ini, serta sesi pemuliharan tapak sejarah yang terbiar.

Menurutnya usaha tersebut bukan bermakna pihaknya menyokong penjajahan tapi lebih kepada pendedahan kepada masyarakat agar cintakan keamanan dan menjaga kemerdekaan negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan