KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang berlangsung di tiga lagi negeri hari ini, terus mendapat sambutan orang awam yang tidak mahu melepaskan peluang berbelanja dan membeli barangan keperluan pada harga lebih murah.
JMKM berlangsung selama 18 minggu di 639 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang menawarkan harga murah antara 10 hingga 20 peratus itu bermula semalam di beberapa negeri dan diteruskan di Pulau Pinang, Perak dan Johor hari ini.
Di PULAU PINANG, JMKM yang diadakan di pekarangan Masjid Jamek Al Arifi, Paya Keladi di Kepala Batas mendapat sambutan meriah daripada orang ramai yang mula hadir sejak awal pagi.
Pengunjung Khairul Izwan Ibrahim, 35, berkata beliau tidak melepaskan peluang hadir ke JMKM untuk membeli barang keperluan terutama minyak masak peket dan ayam, selain berharap agar program itu diteruskan dan diadakan lebih kerap.
“Di sini (JMKM) ayam dijual lebih murah pada harga RM5 seekor. Walaupun pembelian terhad seekor ayam bagi setiap pelanggan, sekurang-kurangnya kami masih boleh dapat dengan harga murah dan banyak beri manfaat kepada pengguna terutama golongan B40,” katanya yang bekerja kilang di Perai.
Di PERAK, Pengerusi Koperasi Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Bhd Samsudin Yusof berkata terdapat dua JMKM diselia pihaknya berlangsung hari ini, masing-masing di Dataran Pekan Parit hingga 12 tengah hari dan Pasaraya Coopmart Koperasi Peserta Felcra Seberang Perak Bhd, Pasir Salak (8 pagi hingga 9 malam).
“Pelbagai barangan keperluan seperti beras, minyak, telur dan gula boleh didapati dengan harga diskaun lebih kurang 20 peratus yang membantu pengguna berjimat dan JMKM mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk kampung dan luar bandar yang hadir sejak awal pagi,” katanya.
Sementara di JOHOR, JMKM yang berlangsung di pasar raya NSK Ulu Tiram, Johor Bahru meriah dengan kehadiran orang ramai untuk menikmati manfaat membeli barangan keperluan pada harga lebih murah.
Pengunjung M. Mageswari, 55, bersyukur program itu memberi faedah kepada rakyat, selain beliau turut mencadangkan agar lebih banyak pilihan barangan dapat ditawarkan dengan harga lebih murah.
Menurut Bahagian Operasi Sumber Manusia (HRO) NSK Ulu Tiram Tan Ching Seng, antara barangan yang ditawarkan ialah sawi, kangkung, bayam, lobak merah, bawang putih, bawang merah dan bahan basah seperti ikan cencaru dan ikan bawal emas.
“Ikan bawal emas seberat 300 hingga 400 gram dijual pada harga RM5.99 seekor dan ikan cencaru pula RM5.99 sekilogram, manakala sayur seperti sawi dijual RM3.99 sekilogram berbanding RM4.99 harga asal dan lobak merah biasanya RM3.99 sekilogram kini RM3.49,” katanya.
JMKM peringkat Johor yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di 14 pasar raya melibatkan 10 kawasan Parlimen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial