SUKAN

Disiplin bahagian pertahanan Penang FC longgar - Zainal

19/08/2022 12:07 PM

GEORGE TOWN, 19 Ogos (Bernama) -- Disiplin pasukan Penang FC perlu diperketatkan lagi khususnya di bahagian pertahanan, menurut Ketua Jurulatih Datuk Zainal Abidin Hassan.

“Saya tahu mereka mahu menang tapi kami harus mempunyai disiplin yang lebih tinggi apabila bermain dengan satu pasukan yang sedang meningkat dan mempunyai jentera serangan yang baik. 

“Mereka tetap bersemangat dan berlawan sehingga ke saat akhir walaupun masih memberi kesilapan seperti gol yang mudah untuk pasukan lawan. Ini bermakna disiplin perlu diketatkan lagi khususnya di bahagian pertahanan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang malam tadi menyaksikan Penang tewas 2-3 di Stadium Bandaraya di sini semalam.

Sementara itu, katanya beliau membuat perubahan drastik dari segi penyusunan pemain menempatkan Mohd Faiz Subri di barisan utama untuk digandingkan dengan Lucas Espindola Da Silva.

“Kebelakangan ni, mereka mempunyai gandingan dan persefahaman yang lebih baik jika dibandingkan dengan gandingan Hilal Al Helwe dan Lucas.

“Bagaimanapun, Faiz telah memberikan segala-galanya pada 30-40 minit pertama sebelum Hilal mengambil alih dan kami dapat lihat Hilal kembali lebih berbisa daripada sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh berkata disiplin tinggi barisan pertahanan pasukan kendaliannya membuatkan pasukan Sri Pahang berjaya mengawal permainan dan seterusnya menewaskan Penang.

“Selepas 20 minit pertama kelihatan sukar, pasukan kami berjaya mendapatkan rentak permainan dan menjaringkan gol. Ini juga menyuntik semangat pemain yang lain,” katanya.

Untuk pelawanan seterusnya, Penang akan bertandang ke Alor Setar untuk menentang Kedah Darul Aman FC pada 2 Sept manakala Pahang akan menerima kunjungan Terengganu FC di Stadium Darul Makmur pada Ahad ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan