MELAKA, 18 Ogos (Bernama) -- Pameran Seni Khat dan Sejarah Cina Muslim @ Melaka dilihat dapat memartabatkan peninggalan warisan seni budaya yang menunjukkan semangat pertukaran pelbagai tamadun Islam yang kaya dan berwarna-warni daripada sudut sejarah dan karya seni.
Penulis kaligrafi Cina Muslim berasal dari Daerah Wilayah Gangsu, China Yusof Liu Bao Jun berkata ia juga secara tidak langsung dapat memartabatkan seni penulisan khat melalui pameran yang berlangsung selama tiga bulan, dari 28 Julai hingga Oktober depan di Balai Syed Sheikh Al-Hadi Bastion House, Banda Hilir.
"Melaka merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai peninggalan sejarah termasuk penemuan arkeologi dan sejarah kewujudan serta perkembangan orang Cina Muslim di negeri ini selain seni bina masjid-masjid lama yang turut dipengaruhi seni bina Cina Muslim.
"Melaka juga dipilih lokasi pertama pameran ini kerana negeri ini mempunyai sejarah dan hubungan erat dengan kerajaan China sejak zaman dahulu, dan dapat dilihat menerusi hubungan pemerintah Melaka dengan China sejak zaman dahulu selain banyak tinggalan sejarah yang masih lagi ada di Melaka hingga kini," katanya di sini hari ini.
Terdahulu Majlis Perasmian Pameran dan Pelancaran Buku Seni Khat dan dan Sejarah Cina Muslim itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam di sini hari ini.
Lebih 300 koleksi tulisan khat dan artifak sejarah berkaitan masyarakat Cina Muslim dipamerkan kepada pengunjung yang bermula sejak 28 Julai lepas selain koleksi tulisan khat milik Yusuf yang juga Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Cina dihasilkan oleh beliau menerusi lima jenis tulisan, antaranya Cina, Arab dan Jawi, Jepun dan Uyghur selain 31 koleksi buku tulisannya melibatkan peradaban dan ketamadunan masyarakat Cina Muslim sejak 1982.
Sementara itu Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Akramuddin Ab Aziz berkata menerusi pameran itu ia juga dapat memperkasakan bidang komunikasi Islam yang menjadikan tulisan jawi sebagai tulisan komunikasi dan digunakan masyarakat terdahulu.
"Kalau kita lihat bahawa dengan kehadiran Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka pada suatu ketika dahulu, pada ketika itu pun tulisan khat telah dijadikan perantara.
"Pameran ini turut menampilkan pelbagai seni khat klasik, seramik, pasu, syiling purba dan ukiran kayu yang pelbagai karakter seperti seramik yang mempunyai tulisan Arab, numismatik Cina bercirikan Islam berkaitan budaya dan ketamadunan Cina dan Islam," katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan