POLITIK

PN hantar surat kepada PM Ismail Sabri untuk adakan pertemuan rasmi

18/08/2022 02:58 PM

PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) telah menghantar surat untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan beberapa isu yang dibangkitkan oleh perikatan itu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini yang memaklumkan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri sebelum ini adalah pertemuan tidak rasmi.

“Saya menteri Kabinet, jadi saya selalu jumpa Perdana Menteri dan minggu lepas adalah jumpa dia (Perdana Menteri) tetapi tidak secara rasmi.

“Kita sembang-sembang dulu, adalah sembang tapi yang secara rasminya saya sudah minta untuk diberi tarikh baharu supaya wakil PN boleh jumpa dan membentangkan apa yang dimohon PN,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan portal aduan buli di sini hari ini.

Pada 13 Ogos, Perdana Menteri berkata beliau telah mengadakan pertemuan bersama PN pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat.

Ismail Sabri berkata pertemuan yang berlangsung di bangunan Parlimen itu dihadiri Hamzah dan Bendahari PN Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ditanya adakah isu jawatan Timbalan Perdana Menteri akan dibangkitkan dalam pertemuan rasmi itu nanti, Hamzah berkata beliau akan bawa apa sahaja permintaan daripada PN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan