KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Indeks Sentimen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menunjukkan bacaan positif sebanyak 53.8 mata, yang mencerminkan bahawa kebanyakan perniagaan agak optimis, berdaya tahan termasuk mampu menyesuaikan diri dengan kewangan serta keadaan ekonomi keseluruhan.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Aria Putera Ismail berkata petunjuk ekonomi utama baharu yang dihasilkan oleh bank itu berfungsi dalam mengukur sentimen PKS mengenai prospek ekonomi dan persekitaran perniagaan, memberikan keadaan sebenar PKS di lapangan.
"Walaupun terdapat persepsi bahawa kita beroperasi dalam persekitaran ketidaktentuan dan cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, bacaan indeks yang melebihi 50 mata menunjukkan bahawa usahawan PKS masih optimis, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan prospek masa depan.
"Malah, 57.3 peratus responden menjangkakan persekitaran perniagaan akan bertambah baik dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berhubung dengan keyakinan itu, lebih daripada 70 peratus PKS mengakui kepentingan bagi mengukuhkan hubungan dengan pelanggan dan kecekapan operasi.
Selain itu, beliau berkata Indeks Sentimen PKS juga mencerminkan bahawa 73.2 peratus PKS menjangkakan peningkatan dalam pendapatan kasar mereka yang akan membawa kepada kenaikan keuntungan dari semasa ke semasa.
"Secara spesifik, 82.3 peratus responden daripada subsektor penginapan serta makanan dan minuman yakin dengan peningkatan pendapatan mereka, sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa yang seterusnya, melonjakkan kedatangan pelancong," katanya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi SME Bank Lynette Lee berkata Indeks Sentimen PKS mendedahkan bahawa PKS berharap serta positif mengenai prospek pemulihan dalam tempoh enam hingga 12 bulan ke hadapan dan mereka kekal teguh dalam menghadapi cabaran yang akan datang.
"Bagaimanapun, perkembangan luaran yang merangkumi persekitaran dasar monetari global yang lebih ketat, gangguan rantaian bekalan yang berterusan, ketegangan geopolitik, inflasi yang lebih tinggi, risiko kemelesetan serta kemunculan penyakit berjangkit akan memberi kesan limpahan ke atas ekonomi domestik dan boleh menjejaskan trajektori pemulihan negara," katanya.
Kaji selidik pertama dijalankan antara April dan Jun 2022 dengan 730 responden terdiri daripada perniagaan kecil (66.7 peratus) diikuti mikro (21.4 peratus), sederhana (10.4 peratus) serta besar (1.5 peratus).
Majoriti responden adalah daripada sektor perkhidmatan (72 peratus) diikuti pembuatan (14.3 peratus) dan pembinaan (12.6 peratus).
Indeks Sentimen PKS juga mendedahkan bahawa 45 peratus daripada responden kini mencari pembiayaan tambahan, khususnya untuk menguruskan keperluan modal kerja mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial