EKONOMI

Bajet 2023: Rakyat dijemput beri maklum balas berkaitan program subsidi bersasar

16/08/2022 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) menjemput semua pihak untuk memberi maklum balas kepada Tinjauan Umum berkaitan Program Subsidi Bersasar untuk dijadikan sebagai input kepada kerajaan semasa merangka Program Subsidi Bersasar. 

Menurut MOF dalam kenyataan hari ini, maklum balas kepada Tinjauan Umum tersebut boleh dimuat turun melalui laman web https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/.

“MOF mengalu-alukan maklum balas bagi Tinjauan Umum ini dilengkapkan dan dikemukakan sebelum atau pada 30 Ogos 2022,” katanya.

Katanya langkah ini untuk memastikan subsidi yang disediakan kerajaan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada kumpulan sasar.

“Tinjauan Umum ini juga merupakan pendekatan baharu MOF dalam siri penerbitan Kertas Konsultasi Awam (KKA) dalam usaha untuk menjadikan proses penyediaan bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh,” katanya.

Menurut MOF, kerajaan yakin penerbitan KKA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing bagi membolehkan kerajaan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar pembangunan sosio-ekonomi negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan