AM

Perak kenal pasti kos pemuliharaan Kompleks Sejarah Pasir Salak

16/08/2022 04:11 PM

IPOH, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Perak sedang mengenal pasti kos bagi kerja pemuliharaan Kompleks Sejarah Pasir Salak di Kampung Gajah yang dilaporkan mengalami kerosakan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dan kemudian diserah kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi untuk menguruskannya.

“Kita belum dapat kos sebenar namun sedia maklum bahawa ia memerlukan kos yang agak tinggi disebabkan melibatkan pemuliharaan bangunan terbiar dan ada banyak kayu telah reput.

“Kita tengok keadaan sekiranya mampu, kerja baik pulih akan menggunakan wang kerajaan negeri tetapi sekiranya tidak, kita kena mohon bantuan Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Saarani berkata pihaknya mengalu-alukan pihak swasta yang berhasrat untuk menguruskan kompleks sejarah itu supaya menyerahkan permohonan kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata dokumen permohonan bidaan (RFB) akan disediakan dalam masa terdekat dan mana-mana pihak yang boleh membantu memulihara dan mengekalkan kompleks sejarah itu dengan meletakkan operator diminta tampil membuat permohonan.

Akhbar tempatan melaporkan Rumah Kutai di Kompleks Sejarah Pasir Salak sudah mulai reput dan Galeri Sejarah Negeri Perak yang merupakan sebahagian daripada kompleks itu tidak lagi boleh dikunjungi oleh pelancong.

Kompleks Sejarah Pasir Salak yang dahulunya menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kini dilaporkan semakin sepi dengan sebahagian bangunannya terbiar selain hanya beberapa tugu dan terowong masa yang masih dapat dikunjungi pelawat.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan seorang wanita yang dikatakan berasal dari negeri ini dan didakwa mengerjakan umrah berpakaian ihram seperti jemaah lelaki, Saarani berkata semua pihak perlu memahami peraturan dan mengikut syarak dalam beribadah.

“Sudah tentu sebagai umat Islam kita nasihatkan diri kita sendiri dan orang ramai yang hendak melakukan ibadah terutamanya di tanah suci mesti memahaminya dengan mengikut syarak supaya mendapat haji dan umrah yang mabrur,” katanya.

Pada Jumaat,  tular video berdurasi 17 saat yang memaparkan seorang wanita yang didakwa sebagai rakyat tempatan berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan perkara itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan