MELAKA, 16 Ogos (Bernama) -- Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, bayi yang lahir pada 31 Ogos berpeluang memperoleh cenderahati istimewa daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka.
Pengarah JPN Melaka Norazlee Sulaiman berkata bagaimanapun pendaftaran kelahiran bayi berkenaan perlu dilakukan di mana-mana pejabat JPN negeri itu dalam tempoh 31 Ogos hingga 16 Sept bagi membolehkan mereka mendapat cenderahati berkenaan.
"Selain itu, 'bayi merdeka' berkenaan turut berpeluang menerima cenderahati khas daripada rakan strategik JPN iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Melaka.
"Cenderahati berkenaan diberikan bagi meraikan kelahiran anak merdeka selain menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas Program Kibar Jalur Gemilang JPN Melaka 2022 #KeluargaMalaysiaTeguhBersama di Kompleks Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan rekod JPN Melaka, sebanyak 39 daftar kelahiran bayi yang lahir pada 31 Ogos telah diproses di pejabat JPN Melaka pada tahun lepas berbanding 32 daftar kelahiran pada 2020.
Sementara itu, katanya sebanyak 1,000 Jalur Gemilang akan dikibarkan di Ibu Pejabat JPN Melaka dan lima pejabat cawangannya di seluruh negeri itu bermula hari ini.
Norazlee berkata inisiatif itu dilakukan sebagai tanda syukur atas kemerdekaan negara yang telah dicapai sejak 65 tahun lepas selain sebagai rasa cinta terhadap tanah air dan sebahagian solidariti Keluarga Malaysia Teguh Bersama.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 55 atlet dari JPN Melaka akan menyertai Kejohanan Sukan Pendaftaran Negara Malaysia (Supma) yang berlangsung di Shah Alam, Selangor selama tiga hari bermula 26 Ogos ini.
Katanya, kontinjen berkenaan menyertai sembilan acara antaranya bola tampar, bola jaring, ping pong dan badminton.
"Kita tidak meletakkan sebarang sasaran pingat tetapi mengharapkan tempat terbaik dan yang penting sifar kecederaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial