MANAMA (Bahrain), 15 Ogos (Bernama) -- Hubungan dua hala antara Bahrain dan Malaysia semakin kukuh menerusi jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang dan kini berada pada tahap membanggakan.
Menteri Kehakiman, Hal Ehwal Islam dan Wakaf Bahrain Nawaf bin Mohammed Al Maawda berkata demikian pada Ahad selepas menerima kunjungan Duta Besar Malaysia ke Bahrain Shazryll Zahiran, dengan kedua-duanya turut membincangkan kerjasama dalam bidang undang-undang dan kehakiman.
Hubungan dua hala antara Bahrain dan Malaysia bermula pada 1974, dengan pembukaan kedutaan baharu di Kuala Lumpur yang telah beroperasi sejak Julai 2019, menurut Agensi Berita Bahrain.
Dalam tempoh 25 tahun yang lalu, eksport Malaysia ke Bahrain telah meningkat pada kadar tahunan 3.56 peratus, daripada US$25.5 juta pada 1995 kepada US$61 juta pada 2020, manakala eksport Bahrain ke Malaysia meningkat pada kadar tahunan sebanyak 13.1 peratus iaitu US$31.7 juta pada 1995 kepada US$688 juta pada 2020.
Pada 2020, Malaysia mengeksport produk bernilai US$61 juta ke Bahrain, iaitu petroleum ditapis (AS$8.39 juta), minyak sawit (AS$6.98 juta) dan papan kayu(AS$4.66 juta).
Bahrain mengeksport produk bernilai US$688 juta iaitu aluminium mentah (AS$558 juta), petroleum ditapis (AS$98 juta) dan kok petroleum (AS$15.6 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial