AM

SWCorp iktiraf pelajar universiti melalui program Pensijilan Kemahiran

15/08/2022 05:48 PM

ALOR SETAR, 15 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengorak langkah memberikan pengiktirafan serta latihan kepada pelajar universiti peringkat ijazah sarjana muda untuk memperoleh sijil kemahiran sekali gus memberi nilai tambah kepada diri mereka.

Pengerusi SWCorp Datuk Rizalman Mokhtar berkata perbadanan itu menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) yang merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam tunggal di negara ini memiliki kluster pengurusan sisa pepejal.

Beliau berkata pelajar kejuruteraan tahun akhir USM akan mengikuti program Pensijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

“Program pensijilan ini telah bermula pada 1 Mei 2022 dan akan tamat pada Disember 2022. Pelajar USM yang terlibat dalam program pensijilan ini akan mengikuti latihan teori di USM dan menjalani latihan amali di syarikat konsesi bermula hari ini hingga 21 Oktober nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan latihan amali SLDN bagi pensijilan kemahiran itu di sini hari ini.

Untuk rekod, Solid Waste Training Center (SWTC) iaitu sebuah Pusat Latihan SLDN yang ditubuhkan oleh SWCorp telah bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia untuk mengguna pakai kaedah SLDN bagi Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia.

Rizalman juga berkata kerjasama strategik antara SWCorp dengan USM membabitkan kolaborasi tiga syarikat konsesi di bawah seliaan perbadanan tersebut iaitu Alam Flora Sdn Bhd, Environment Idaman Sdn Bhd dan SWM Environment Sdn Bhd.

“Di akhir program ini kelak, pelajar USM ini akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Penyeliaan Operasi Pengumpulan Sisa Pepejal Tahap 3 di samping menggenggam ijazah kejuruteraan masing-masing.

“SKM dan pengalaman industri juga akan menjadi nilai tambah kepada para pelajar ini dalam persiapan mereka untuk masuk ke alam pekerjaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan