DUNIA

Korea Selatan kesal dengan tindakan PM Jepun yang dikaitkan dengan perang

15/08/2022 05:27 PM

SEOUL,15 Ogos (Bernama) -- Korea Selatan pada Isnin menyuarakan kekesalan terhadap Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida kerana menghantar persembahan ritual ke Kuil Yasukuni yang terkenal dikaitkan dengan perang, dan dilihat sebagai simbol masa lalu ketenteraan dan penjajahan Jepun, lapor Xinhua.

Kementerian Luar Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, ia menzahirkan kekecewaan dan kekesalan yang mendalam terhadap fakta bahawa pemimpin Jepun sekali lagi menghantar persembahan sebagai tanda penghormatan di Kuil Yasukuni, yang memuliakan perang penjajahan Jepun dan menempatkan makam penjenayah perang.

Kerajaan Korea Selatan dengan tegas menggesa para pemimpin Jepun untuk berdepan dengan sejarah dan menunjukkan penyesalan dan ketulusan mereka terhadap tindakan masa lalu Jepun.

Perdana Menteri Jepun menghantar persembahan itu sempena ulang tahun ke-77 penyerahan Jepun dalam Perang Dunia II dan pembebasan Semenanjung Korea daripada pemerintahan penjajahan Jepun 1910-45.

Meskipun Kishida tidak mengunjungi kuil kontroversi itu secara peribadi sejak menjadi perdana menteri pada Oktober tahun lalu, beberapa anggota kabinet Jepun dilihat memberi penghormatan di kuil itu pada Isnin.

Kuil Yasukuni memberi penghormatan kepada 14 penjenayah perang Kelas-A yang disabitkan kesalahan dalam kalangan 2.5 juta kematian perang Jepun akibat Perang Dunia II.

Lawatan dan persembahan ritual yang dibuat oleh pegawai Jepun ke kuil yang terkenal itu secara konsisten mencetuskan kritikan dan menyinggung perasaan Korea Selatan dan negara lain yang dianiaya oleh Jepun semasa perang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan