AM

KUIPs bersedia naik taraf jadi universiti

13/08/2022 09:11 PM

KUALA PERLIS, 13 Ogos (Bernama) -- Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bersedia untuk dinaik taraf sebagai Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).

Reaktornya Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata pihak KUIPs sehingga kini telah berjaya memenuhi dua daripada lima syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kelulusan bersyarat naik taraf sebagai sebuah universiti.

"Insya-Allah kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi tiga lagi syarat yang ditetapkan selewat-lewatnya dalam jangka masa tiga tahun ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu beliau menerima kunjungan Ketua Penyiaran TV dan Radio Bernama Arul Rajoo memberi penerangan tentang perkhidmatan yang disediakan oleh Bernama sebagai agensi berita utama negara sempena program Jom Kenal Bernama.

"Kampus tetap UniSIRAJ akan dibina  di Sungai Chuchuh, Padang Besar yang kini dalam proses pengambilan tanah oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)  dan kos pembinaan dianggarkan bernilai RM220 juta," katanya.

Muhamad Rozaimi berkata pembinaan kampus UniSIRAJ  seluas 48.56 hektar dijangka akan bermula pada awal tahun depan.

"Kami akan menawarkan beberapa kursus pengajian baharu dan kini KUIPs sedang berusaha untuk cuba menawarkan pengajian pascasiswazah di beberapa fakulti," katanya.

Beliau berkata pada masa akan datang KUIPs akan cuba menawarkan sekurang-kurangnya lapan program pengajian pada peringkat  doktor falsafah dan sarjana.

Katanya pihak sentiasa melakukan kerjasama dengan rakan-rakan strategik bagi memastikan bahawa pelajar lepasan KUIPs mampu memenuhi keperluan semasa industri.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan