AM

Mayat keempat tragedi bot nelayan karam ditemukan

13/08/2022 08:08 PM

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos (Bernama) -- Satu lagi mayat yang merupakan mangsa tragedi bot nelayan karam di perairan Pulau Redang Isnin lepas, ditemukan hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata mayat Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49, ditemukan di kedudukan 9.4 batu nautika utara Pulau Redang pada 12.30 tengah hari tadi, selepas APMM menerima laporan daripada nelayan tempatan yang menemukan objek terapung pada 11 pagi.

“Aset maritim Kapal Maritim Bagahak yang sedang beroperasi diaturgerakkan ke lokasi aduan tersebut. Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sebelum proses pengecaman dan bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah pengecaman dilakukan isteri mangsa, Rosainy Mohd Zin.

Muhammad Suffi dalam kenyataan semalam memaklumkan operasi mencari dan menyelamat dua lagi nelayan tempatan yang hilang iaitu Raja Zainudin dan Ahmad Zamri Ishak, 66, ditamatkan pada 7 malam susulan tiada lagi petunjuk baharu diperoleh.

Dalam kejadian pada 10 malam Isnin itu, bot nelayan dinaiki enam lelaki karam selepas dilanda ribut di kedudukan lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang.

Mangsa yang selamat adalah Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, manakala tiga lagi iaitu Saludin Ismail, 50, Ahmad Nazri Ishak, 48, dan Zulkifli Umar, 48, ditemukan lemas di lokasi berbeza kira-kira 1.7 hingga 1.9 batu nautika dari Pulau Redang pada Rabu lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan