SIBU, 13 Ogos (Bernama) -- Bandong Walk, sebuah destinasi menjamu selera popular di sini akan mempunyai perkhidmatan tempahan serta penghantaran makanan dalam talian susulan pelancaran aplikasi Belibeli Super App hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata kemudahan Wi-Fi juga akan dipasang di kawasan berkenaan bagi membolehkan aplikasi yang dibangunkan sejak 2017 itu beroperasi dengan lancar.
Beliau berkata peniaga-peniaga makanan di Bandong Walk perlu mendaftarkan perniagaan mereka di aplikasi itu terlebih dahulu bagi membolehkan pelanggan memilih serta memesan juadah dan seterusnya dihantar ke rumah mereka.
“Platform ini baik untuk meluaskan pasaran dan perniagaan tetapi mereka perlu berdaftar dengan aplikasi Belilbeli terlebih dahulu. Pengendali Belibeli hanya mengenakan caj serendah tiga peratus bagi setiap perkhidmatan. Ini jauh lebih rendah berbanding caj aplikasi lain sedia ada pada masa kini.
“Bagaimanapun, para peniaga mesti memastikan kualiti makanan dijual dan pembungkusan sentiasa berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan aplikasi Belibeli Super App peringkat Sibu, di sini hari ini.
Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengasas aplikasi Belibeli Super App yang juga Pengarah Urusan Solaku Sdn Bhd Mohd Hisham Khairul Nasir.
Dr Annuar berkata dengan penggunaan aplikasi itu, orang ramai yang tidak berkesempatan untuk duduk menjamu selera di Bandong Walk kerana masalah parkir boleh memesan juadah dikehendaki dan penghantaran boleh dilakukan dengan segera.
Beliau berkata dengan kemudahan Wi-Fi dan aplikasi Belibeli Super App itu nanti Bandong Walk juga akan dijadikan destinasi menjamu selera di bandar ini tanpa tunai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial