BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah putuskan permohonan Rewcastle-Brown cabar dakwaan fitnah, pramatang

12/08/2022 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa adalah terlalu awal untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan pertuduhan fitnah jenayah terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown mematuhi perlembagaan.

Sehubungan itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata beliau memutuskan untuk tidak mempertimbangkan merit permohonan Rewcastle-Brown untuk merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perlu didengar dan diputuskan terlebih dahulu.

Rewcastle-Brown boleh mengemukakan permohonan untuk merujuk dua persoalan undang-undang itu, jika kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, katanya sambil menambah bahawa mahkamah belum memutuskan sama ada untuk membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya berpendapat Seksyen 84(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 hanya terpakai jika prosiding didaftarkan di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pada September tahun lepas, Rewcastle-Brown didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku ‘The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Beliau kemudian membuat permohonan untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang ditetapkan untuk pendengaran pada 29 Mac 2022.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menetapkan 12 Dis untuk mendengar permohonan untuk memindahkan kes itu sementara menunggu pendengaran permohonan Rewcastle-Brown untuk merujuk dua persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 21 Nov 2018, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah dengan menamakan Rewcastle-Brown, Penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan syarikat percetakan, Vinlin Press Sdn Bhd, selaku defendan pertama hingga ketiga.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan