DUNIA

ASEAN, Korea Selatan perlu tingkatkan kerjasama hadapi isu geopolitik -- Analisis

12/08/2022 02:38 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan rakan dialognya Korea Selatan harus meningkatkan kerjasama strategik sedia ada dalam menghadapi isu geopolitik membabitkan kuasa besar.

Dr Lee Jaehyon, Felo Kanan di Pusat Kajian Serantau Institut Kajian Dasar Asan, memberitahu Bernama bahawa sudah tiba masanya untuk Perkongsian Dialog dinaik taraf dan diperluas terutamanya membabitkan bidang pertahanan, termasuk sains dan teknologi.

“Korea Selatan dan ASEAN telah membangunkan perkongsian ekonomi dan sosiobudaya yang kukuh sehingga kini.

“Tetapi bagi isu-isu geopolitik yang mencabar blok serantau, terutamanya melibatkan persaingan kuasa besar sehingga mendatangkan kesan negatif, kedua-dua pihak (ASEAN dan Korea Selatan) perlu mempertingkatkan dialog strategik dan perlu mengetahui terlebih dahulu tentang kebimbangan strategik masing-masing, serta mengenal pasti bidang kerjasama yang perlu.

“Ketika persaingan antara kuasa besar semakin meruncing, negara-negara ASEAN memerlukan lebih banyak kapasiti untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara mereka, terutamanya membabitkan pertikaian kawasan maritim. 

Korea Selatan boleh bekerjasama dengan negara-negara ASEAN dalam bidang ini.”

Jaehyon berkata demikian apabila diminta mengulas bagaimana Korea Selatan sebagai rakan dialog ASEAN boleh memainkan peranannya dalam kumpulan itu.

Korea Selatan telah dianugerah status Rakan Dialog penuh oleh ASEAN pada Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN (AMM) ke-24 pada Julai 1991 di Kuala Lumpur.

Sejak perkongsian ASEAN-Korea Selatan dinaiktaraf ke sidang kemuncak pada 1997 di Kuala Lumpur, hubungan antara ASEAN dan Korea Selatan semakin meluas dan mendalam.

Mengulas lanjut, Jaehyon menegaskan bahawa memandangkan ASEAN telah mengenal pasti transformasi digital sebagai pemacu utama pemulihan ekonomi dalam tempoh pasca COVID-19, kerjasama digital akan menjadi satu lagi bidang yang boleh diterokai dengan lebih lanjut.

“Bukan hanya untuk ekonomi, tetapi demi keselamatan negara; kerjasama digital adalah penting memandangkan banyak negara ASEAN yang sedang membangun mempunyai isu keselamatan siber, manakala keselamatan data dan peralatan digital mereka terlalu bergantung kepada negara tertentu.

"Selain kerjasama strategik (membabitkan wilayah maritim), kerjasama dalam sektor digital mampu memberi lebih manfaat," kata Jaehyon, yang bidang kepakarannya adalah melibatkan isu di Asia Tenggara dan Oceania.

Pada masa yang sama, Jaehyon berpendapat bahawa blok serantau itu boleh mengukuhkan lagi suara kolektifnya dengan menghimpunkan persaingan antara kuasa-kuasa besar ke dalam skim pelbagai hala ASEAN.

Dalam hal ini, sudah tiba masanya untuk ASEAN menggunakan kemahiran diplomatiknya memujuk dan mendapatkan sokongan daripada kuasa kecil dan sederhana lain, termasuk Korea Selatan, untuk bersuara menyokong institusi pimpinan ASEAN sedia ada.

“Bagaimanapun, ASEAN perlu mendapatkan semula status institusi pimpinan ASEAN untuk memberi tekanan kepada kuasa besar.

“Apabila lebih banyak negara serantau menunjukkan sokongan kepada institusi itu dan apabila (terdapat) kerjasama yang lebih praktikal dan berfungsi di bawah panji-panji multilateralisme diterajui ASEAN, ia akan membuat kuasa-kuasa besar itu mengambil kira suara ASEAN serta kuasa kecil dan sederhana yang lain.

Kerjasama ASEAN-Korea Selatan dalam bidang politik dan keselamatan telah diperkukuh melalui mekanisme sedia ada seperti Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan, Mesyuarat Menteri-menteri, Dialog ASEAN-Korea Selatan dan Mesyuarat Pegawai Kanan.

Korea Selatan telah terlibat secara aktif dalam mekanisme yang diterajui ASEAN, termasuk ASEAN Plus Three (APT), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Forum Serantau ASEAN (ARF), dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM-Plus).

Korea Selatan menubuhkan pejabat operasinya ke ASEAN di Jakarta pada September 2012 dan melantik Duta residen pertamanya ke ASEAN pada Oktober 2012.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan