AM

Pameran RTX 2022 wadah pembangunan industri rel negara

11/08/2022 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) menyasarkan lebih 3,000 pengunjung hadir pada pameran Rail Technology Expo 2022 (RTX 2022) yang berlangsung empat hari bermula hari ini, sekali gus menjadi wadah dalam meningkatkan kesedaran pembangunan teknologi rel terkini dan memperkasakan industri rel negara.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata RTX 2022 yang julung kali dianjurkan itu bertujuan memberi kesedaran berhubung pembangunan dan teknologi rel terkini, mempromosi keupayaan dan kapasiti industri rel tempatan, melebarkan rangkaian perniagaan di antara pihak berkepentingan selain memperkenalkan kepakaran dan kebolehan industri rel tempatan.

"Penganjuran kali ini juga membuka ruang kepada masyarakat umum yang berminat untuk mengenali lebih dekat teknologi rel serta melibatkan diri dalam usaha membangunkan sektor pengangkutan rel melalui sesi sumbang saran, aktiviti padanan perniagaan dan seminar-seminar yang disediakan.

"Ini merupakan cetusan idea daripada satu dialog yang melibatkan semua pemain industri yang kita adakan pada 25 Jan lepas. Walaupun buat julung kali dianjurkan tetapi ia mendapat sambutan yang sangat baik," katanya pada sidang media selepas merasmikan Rail Technology Expo (RTX) 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata pada mulanya dijangka 40 pempamer menyertainya tetapi pada hari ini lebih 50 direkodkan dan ini menunjukkan sambutan serta keupayaan syarikat Malaysia.

Wee berkata sebanyak 55 syarikat terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat tempatan dan antarabangsa serta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terlibat dalam pameran itu, manakala sebanyak 12 syarikat terlibat dalam program Karnival Mini Kerjaya, Sabtu ini.

Beliau berkata pelancaran itu menunjukkan kesungguhan MOT dalam memacu usaha meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat-syarikat berkaitan rel tempatan yang bakal memberi manfaat besar kepada industri rel dalam negara.

"MOT berharap agar pameran RTX 2022 ini menjadi medan bagi pemain industri tempatan bekerjasama dan berhubung antara satu sama lain bagi mengembangkan lagi industi serta perniagaan masing-masing. Melihatkan sambutan yang sangat baik ini, MOT akan meneruskan penganjuran RTX ini dan akan diadakan dua tahun sekali," katanya.

RTX 2022 adalah usaha sama MOT dengan Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE), Malaysia Rail Industry Corporation (MARIC) dan Technology Depository Agency (TDA) yang akan berlangsung sehingga 14 Ogos ini.

Mengulas pindaan beberapa akta agar penunggang perkhidmatan p-hailing wajib mempunyai Lesen vokasional khas, Wee berkata kelulusan peraturan itu bergantung pada aturan urusan mesyuarat di Parlimen.

"Kita sudah minta untuk perkara itu dipercepatkan demi kebaikan bersama tetapi tidak bererti waktu ini EHO (pengendali operator e-hailing) tidak boleh buat apa-apa, kalau mereka ingin bantu menyelesaikan kekusutan itu tanpa punca kuasa, kita minta mereka lihat (perkara itu).

Isnin lepas, Wee dilaporkan berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos lepas bersetuju supaya Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dipinda bagi tujuan pengawalseliaan serta penetapan peraturan termasuk syarat lesen vokasional khas itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada status penunggang p-hailing di negara ini.

Terdahulu, Wee menghadiri perjumpaan bersama pihak persatuan p-hailing bagi menerangkan mengenai Lesen vokasional khas yang perlu diambil oleh penunggang perkhidmatan p-hailing tidak sama seperti lesen memandu vokasional (GDL) dan menyifatkan pertemuan itu sesuatu yang baik dalam usaha menjaga kebajikan mereka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan