AM

Kibarkan bendera tanda rakyat Sabah syukuri nikmat merdeka

11/08/2022 04:39 PM

SEMPORNA, 11 Ogos (Bernama) -- Rakyat di negeri ini wajar mensyukuri nikmat yang diperoleh daripada kemerdekaan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah itu berkata walaupun Sabah masih belum sempurna terutama dari segi pembangunan, banyak aspek lain yang telah dinikmati rakyat negeri ini apabila bersama Malaysia.

“Membangunkan Sabah adalah usaha berterusan bersama Malaysia. Bagi menzahirkan rasa syukur itu, sekali dalam setahun belilah bendera dan kibarkan di premis masing-masing untuk tunjuk semangat nasionalisme yang ada pada rakyat Sabah.

"Saya minta semua pemilik premis tolong korbankan beberapa ringgit untuk beli bendera, jangan harap ihsan atau pemberian kerajaan sahaja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Perkhidmatan Pemungutan Sampah di perairan Pekan Semporna di sini hari ini.

Masidi berkata mengibar bendera Malaysia adalah simbol kebanggaan, maruah dan identiti negara, selain sebagai simbol perpaduan dan kesatuan sebagai rakyat negara ini.

Sementara itu, menurutnya pelbagai program menarik dirancang bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan di negeri ini termasuk acara utama majlis perhimpunan dan perarakan Hari Kebangsaan di Padang Merdeka di Kota Kinabalu, serta forum agama yang akan diadakan di surau dan masjid di negeri ini.

“Rakyat di Sabah perlu bersatu hati mempertahankan dan bersama meraikan pengisian nikmat kemerdekaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan