KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan meneliti cadangan penubuhan sebuah Majlis Perundingan Kewangan Sosial Islam yang dijangka dapat diwujudkan pada akhir tahun ini.
Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata majlis perundingan itu dapat berperanan sebagai platform perbincangan pelbagai perkara berkaitan kewangan sosial Islam bagi menghubungkan serta mempertingkat sinergi berkaitan.
Menurutnya, ahli majlis tersebut akan dipilih daripada kalangan individu, wakil sektor korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) manakala MAIWP akan bertindak sebagai sekretariat.
“Kita akan menguar-uarkan mereka (ahli) terbabit pada masa akan datang selain pelan bagi meneroka pelbagai sumber dana baharu sistem kewangan Islam untuk mencorak dan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan kepada masyarakat.
“Majlis itu juga boleh menjadi satu platfom kerjasama bagi penyampaian sumbangan yang lebih efektif dan menyeluruh,” katanya pada majlis diskusi MAIWP : Instrumen Sumber Kewangan Islam Dalam Organisasi di sini, hari ini.
Mohd Daud berkata, selain zakat dan wakaf sebagai sumber pendanaan dalam sistem kewangan Islam, agenda perbincangan juga boleh menyentuh mengenai potensi wang tidak dituntut sebagai sumber dana baharu.
“Sejumlah besar wang tidak dituntut itu terbiar dan tiada salah sekiranya MAIWP diberi peluang menguruskannya untuk digunakan (bagi manfaat) masyarakat,” katanya.
Beliau berkata ini berikutan permintaan terhadap sumber kewangan sosial pada masa ini adalah lebih 3-4 kali ganda berbanding sumber sedia untuk keperluan asnaf yang turut memerlukan MAIWP meneroka dana baharu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya berkata 95 peratus daripada pendapatan agensi itu adalah daripada sumber zakat manakala lima peratus daripada sumber wakaf dan selebihnya merupakan derma orang ramai serta geran kerajaan bagi emolumen sebanyak RM30 juta.
Bagi tahun 2021, kutipan zakat MAIWP berjumlah RM852 juta manakala agihan secara terus kepada golongan asnaf bagi separuh pertama tahun ini adalah RM262 juta untuk 32,000 keluarga dan tidak termasuk bantuan lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial