BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 AM

Bernama nafi semua dakwaan petugas BTV

11/08/2022 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menafikan semua dakwaan wartawan penyiaran Bernama TV, Sydney Yap Xi Ni mengenai agensi berita itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin berkata semua dakwaan petugas berstatus kontrak itu adalah tidak berasas.

Petugas wanita itu yang mula berkhidmat di Meja Penerbitan Bahasa Mandarin pada September 2019, telah mendakwa dalam hantaran Facebook peribadinya bahawa Bernama TV telah memotong gaji dan elaun serta lewat dalam pengambilan petugas baharu bagi menggantikan mereka yang telah berhenti kerana melanjutkan pelajaran dan mendapat tawaran di stesen televisyen lain.

Roslan menjelaskan bahawa berita Mandarin Bernama TV sebelum ini diterbitkan oleh sebuah  syarikat swasta, dengan Yap adalah seorang petugasnya.

“Pada 2019 Bernama TV telah mengambil alih operasi penerbitan berita Bahasa Mandarin daripada syarikat berkenaan. Susulan itu semua petugas, termasuk Yap ditawarkan menyertai Bernama TV dengan bayaran  emolumen yang sama,” kata Roslan hari ini.

Yap turut menikmati kenaikan gaji tahunan selepas itu selain menerima elaun sebagai pembaca berita.

“Sehingga hari ini, tiada sebarang aduan mengenai isu gaji atau layanan tidak baik dibuat oleh mana-mana bekas atau petugas sedia ada Meja Penerbitan Bahasa Mandarin,” kata beliau.

Roslan juga menegaskan Bernama tidak pernah mengeluarkan kenyataan media mengenai hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Yap.

Siaran berita Bahasa Mandarin boleh diikuti di Astro 502, myFreeview 121, unifi TV 631, LIVE Facebook & Youtube Bernama TV.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan