EKONOMI

ECERDC TARIK PELABURAN KOMITED RM13 BILION, 7,000 PELUANG KERJA SETAKAT JULAI LEPAS

10/08/2022 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited dianggarkan bernilai RM13 bilion dengan sejumlah 7,000 peluang pekerjaan baharu di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) setakat Julai 2022.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Eddin Syazlee Shith berkata pelbagai promosi turut dirancang bagi menggalakkan kerjasama dengan kerajaan tempatan dalam memenuhi sasaran tahunan tahun ini iaitu RM14 bilion bagi pelaburan komited serta 10,000 peluang pekerjaan.

“ECERDC telah menjalankan promosi pelaburan secara agresif menerusi misi pelaburan ke Korea dan Jerman serta pelaksanaan sesi taklimat dan webinar bersama pelabur-pelabur berpotensi.

“Selain itu, kerjasama rapat melalui libat urus dengan kerajaan negeri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kedutaan, Petronas dan dewan-dewan perniagaan turut dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 di Dewan Negara, hari ini, yang kemudiannya diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Eddin Syazlee berkata Pakej Insentif ECER dan Pakej Insentif Cukai Khas Kelantan juga terbukti telah menjadikan ECER sebagai antara destinasi pelaburan asing serta tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan