AM

Prasarana, infrastruktur berkualiti di sekolah penting untuk kejayaan pelajar

10/08/2022 03:01 PM

IPOH, 10 Ogos (Bernama) -- Prasarana dan infrastruktur yang baik penting untuk persekitaran berkualiti kepada pelajar dan pihak sekolah sebagai asas kepada pembangunan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, sahsiah mahupun intelek.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga prihatin dan sedar bahawa kejayaan pelajar amat bergantung kepada kecekapan serta kreativiti guru menyampaikan pengajaran mereka.

“Kami sememangnya telah dan akan melaksanakan pelbagai pembaharuan terutama dalam memastikan institusi pendidikan di bawah kementerian mempunyai prasarana dan infrastruktur yang lengkap bagi memenuhi kehendak era Pendidikan Abad Ke-21,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Malim dekat sini hari ini.

Menurutnya pihak sekolah terutama guru juga harus lebih proaktif dalam mempromosikan sekolah sebagai institusi yang dapat menjana budaya kerja cemerlang, inovatif dan kreatif dari aspek penyampaian pengajaran kepada pelajar.

Beliau berkata hasrat ini tidak dapat dilaksanakan sekiranya terdapat kekurangan pada prasarana, meskipun sekolah mempunyai guru yang berkemahiran serta berpengalaman dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP). 

Terdahulu, Mah berkata selain memberikan keselesaan kepada warga sekolah dan komuniti setempat, dewan berkenaan diharapkan dapat menaikkan lagi semangat warga sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam melaksanakan tanggungjawab meningkatkan kualiti pendidikan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan