SUKAN

Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita 'bantai' Kemboja 14-1

08/08/2022 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Pasukan hoki dalam dewan wanita negara ternyata berada dalam kelas tersendiri selepas membelasah Kemboja 14-1 pada aksi pembukaan saingan Kumpulan B Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 di Bangkok, Thailand, hari ini.

Pada aksi di Stadium Tertutup Huamark itu, skuad bimbingan Mohd Rodhanizam Mat Radzi tidak menunggu lama untuk berpesta gol apabila mendahului 9-1 pada separuh masa pertama sebelum menambah derita pasukan lawan dengan tambahan lima gol di babak kedua.

Pemain handalan negara Nuraini Abdul Rashid mencuri tumpuan apabila meledak empat gol pukulan sudut penalti pada minit ke-13, 14, 15 dan 36.

Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi dan Fazilla Sylvester Silin masing-masing memperoleh hatrik menerusi gol padang dengan jaringan Putri Nur Batrisyia hadir pada minit keempat, 15 dan 39 manakala tiga gol Fazilla Sylvester dicetak pada minit ke-11, 33 dan 35.

Turut mencetak nama sebagai penjaring adalah Nur Aisyah Yaacob menerusi gol padang seawal minit pertama diikuti gol pukulan sudut penalti pada minit ke-27 sementara Raja Norsharina Raja Shabuddin dan Qasidah Najwa Muhammad Halimi masing-masing meledak satu gol padang pada minit keempat dan ke-10.

Kemboja berjaya menjaringkan gol sagu hati hasil gol padang Seng Sorphorn pada penghujung babak pertama.

Mohd Rodhanizam berkata semangat bermain sebagai satu pasukan yang tinggi ditonjolkan anak buahnya adalah kunci kemenangan besar pasukan negara.

“Apabila kita dapat jaringkan banyak gol dan selesa di depan, kita buat beberapa pertukaran taktikal untuk persediaan aksi seterusnya. Apapun saya bangga dengan pemain kerana memberikan yang terbaik untuk perlawanan ini,” katanya dalam kenyataan ringkas menerusi WhatsApp kepada media hari ini.

 Malaysia yang menghuni ranking ke-33 dunia akan meneruskan cabaran menentang pasukan pilihan Thailand di ranking ke-17 dunia Rabu ini sebelum berdepan Singapura yang berada di ranking ke-45 dalam aksi terakhir kumpulan pada Jumaat ini.

Sementara itu, dalam saingan lelaki yang menggunakan format liga sepusingan, Malaysia turut cemerlang membuka kempen dengan langkah kanan selepas mengatasi Singapura 6-0 di venue sama.

Enam gol skuad kendalian Muhamad Amin Rahim disumbangkan Faridzul Afiq Mohd menerusi gol padang pada minit ke-16 dan gol pukulan sudut penalti minit ke-23, Razali Mohd Hazemi yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-25 diikuti tiga jaringan padang oleh Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah pada minit ke-29, Shello Silverius (minit ke-32) dan Norsyafiq Sumantri (minit ke-36).

“Secara keseluruhan kita bermain agak baik walaupun mampu beraksi lebih baik daripada apa yang dipamerkan. Aksi pembukaan selalu sukar, namun pemain berjaya mengatasi dengan baik. Banyak peluang dicipta namun penyudah agak tumpul. Kami akan lihat semula kesilapan dan perbaikinya,” katanya.

Skuad lelaki negara akan menentang Taiwan pada aksi kedua esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan