KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Drama bersiri ‘Demi’ diinspirasikan kisah benar mengenai wanita cekal dalam mempertahankan agama dan akidah bakal menemui penonton pada 10 Ogos di saluran TV Okey.
Penerbitnya Datin Mahfuzah Zakkiah Abdain berkata drama 26 episod itu sepatutnya ditayangkan pada 2020 lepas, namun penggambarannya terpaksa ditangguhkan akibat penularan wabak COVID-19.
“Saya telah membawa team produksi ke Iverness, Scotland pada tahun 2020 untuk penggambaran drama ini. Namun apabila COVID-19 melanda, penggambaran tidak dapat diteruskan dan kami terpaksa berada di sana.
Dek kerana itu, saya perlu mengeluarkan belanja tambahan dengan pembelian tiket lain untuk penerbangan (balik ke Malaysia) bersama pelakon dan kru yang terlibat kerana penerbangan asal telah dibatalkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Demi di Hotel Grand Millennial di sini hari ini.
Majlis pelancaran drama bersiri itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Majlis berkenaan turut dihadiri jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida.
Menurut Mahfuzah dia reda dengan segala ujian yang dihadapi dan tetap berusaha sehingga berjaya menyiapkan drama itu sepenuhnya pada Januari tahun ini.
Sementara itu Zahidi berkata ’Book to Screen’ yang kini menjadi trend dalam industri kandungan kreatif perlu terus diperhebat.
“Kita perlu bangkitkan semula ekosistem kandungan kreatif, lebih-lebih lagi setelah memasuki fasa endemik dalam mewujudkan suasana peningkatan sosio-ekonomi buat karyawan kandungan kreatif,” katanya.
Katanya drama ‘Demi’ itu merupakan kisah benar yang diadaptasi daripada novel ‘Demi’ karya Rina Azdi yang berkonsepkan ketuhanan dan keagamaan yang mampu menjadi medium untuk berdakwah, memberi teguran, tunjuk ajar, panduan serta hiburan khususnya buat seluruh Keluarga Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial