PHNOM PENH, 8 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen pada Isnin berkata perjanjian perdagangan bebas Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang berkuat kuasa awal tahun ini, akan menjadi penggalak kepada ekonomi serantau dan global dalam era pemulihan pasca COVID-19, lapor Xinhua.
Dalam satu mesej video sempena Hari ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) yang disiarkan di Televisyen Kebangsaan Kemboja (TVK) kendalian kerajaan, Hun Sen berkata pelaksanaan penuh dan berkesan perjanjian RCEP adalah satu keutamaan.
RCEP akan merangsang pemulihan ekonomi dalam era pasca pandemik, mewujudkan pekerjaan, dan mengukuhkan rantaian bekalan di rantau ini dan dunia secara keseluruhan, katanya.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2022, Kemboja akan bekerjasama erat dengan negara-negara RCEP untuk menggalakkan pelaksanaan penuh dan berkesan perjanjian RCEP bagi menggiatkan lagi kemudahan aktiviti perdagangan rentas sempadan,” tambahnya.
RCEP terdiri daripada 15 negara Asia-Pasifik termasuk 10 negara anggota ASEAN -- Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam -- dan lima rakan dagang mereka, iaitu China, Jepun, Korea Selatan , Australia dan New Zealand.
Sebagai blok perdagangan terbesar di dunia, RCEP mewujudkan pasaran untuk 2.2 bilion orang atau 30 peratus daripada populasi dunia dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$26.2 trilion, yang mewakili sekitar 30 peratus daripada KDNK global dan 28 peratus perdagangan global.
Menurut kajian Bank Pembangunan Asia, RCEP akan meningkatkan pendapatan ekonomi ahli sebanyak 0.6 peratus menjelang 2030, menambah US$245 bilion setiap tahun kepada pendapatan serantau dan menyediakan 2.8 juta peluang pekerjaan serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial