KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Pasaran kaedah pembayaran menggunakan kad di Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan berterusan sebanyak 15.2 peratus pada 2022, disokong oleh peningkatan perbelanjaan pengguna secara berperingkat, langkah kewangan kerajaan serta keutamaan pembayaran tanpa sentuh yang terus ketara.
Dalam unjurannya, syarikat data dan analisis, GlobalData berkata nilai pembayaran kad di negara ini turut merekodkan pertumbuhan sebanyak 15.9 peratus pada 2021 selepas susut 5.4 peratus pada 2020 berikutan pengurangan perbelanjaan pengguna akibat ketidaktentuan COVID-19.
Malah, analisis analisis GlobalData menunjukkan nilai pembayaran tersebut dianggarkan mencatat purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 11.5 peratus pada 2022-2026 untuk mencecah RM401.9 bilion.
Penganalisis Perbankan dan Pembayaran Kanan GlobalData Nikhil Reddy berkata Malaysia telah mencatat kemajuan ketara dari segi penggunaan pembayaran elektronik sejak beberapa tahun lepas, didorong oleh inisiatif kerajaan termasuk had fi atau yuran pertukaran, peralihan kad pembayaran ke standard EMV dan peluasan infrastruktur kemudahan jualan.
EMV yang dikenali sempena singkatan nama pemaju asalnya - Europay, MasterCard dan Visa adalah standard teknologi pembayaran selamat yang digunakan di peringkat global.
“Biarpun COVID-19 telah menjejaskan pertumbuhan pasaran pembayaran dalam jangka pendek, ia sebaliknya turut mendorong peralihan pengguna daripada pembayaran secara tunai kepada digital,” katanya.
Beliau berkata, langkah peningkatan aktiviti ekonomi juga dijangka memacu perbelanjaan pengguna yang dapat menyokong pertumbuhan kad pembayaran.
Bank-bank digital akan turut melengkapkan peranan bank tradisional bagi meningkatkan keterangkuman kewangan di Malaysia dan seterusnya melonjakkan penembusan dan pengguna kad pembayaran tersebut, katanya.
Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengumumkan lima penerima lesen bank digital yang dijangka memulakan operasi dalam tempoh dua tahun akan datang.
Selain itu, bank pusat terbabit juga sedang berusaha untuk mengurangkan lagi fi pertukaran bagi menggalakkan penerimaan secara meluas dalam kalangan peniaga.
Pada Disember 2021, BNM telah mengeluarkan draf bagi pengurangan fi pertukaran pada kad debit kepada 0.10 peratus daripada 0.15 peratus sebelum ini manakala kad kredit daripada 1.10 peratus kepada 0.60 peratus.
Bagaimanapun, ini masih di peringkat perundingan dan belum dilaksanakan setakat ini.
Menurut bank pusat itu, dua daripada tiga pembayaran secara kad di premis fizikal pada 2021 adalah bercirikan tanpa sentuh berbanding hanya satu daripada setiap dua transaksi pada tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial