AM

Kelantan laksana projek penggantian paip atasi isu bekalan air

08/08/2022 04:26 PM

TANAH MERAH, 8 Ogos (Bernama) -- Kelantan akan melaksanakan projek penggantian paip lama iaitu paip simen asbestos (AC) kepada paip baharu di bawah Pakej 1, dianggarkan sepanjang 103.01 kilometer dengan kos RM61.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor berkata penggantian itu bertujuan mengatasi isu bekalan air di negeri itu dengan kawasan terlibat adalah Kota Bharu Timur, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai. 

Beliau berkata proses pelantikan kontraktor dilaksanakan oleh pihak Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) dan projek berkenaan dijangka siap pada Mac 2024.

"Saya berharap pelaksanaan projek ini dapat mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) dan seterusnya mengurangkan kebocoran paip di kawasan terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Penggantian Paip Lama seluruh Negeri Kelantan Pakej 1 di Surau Taman Indah di sini hari ini.

Azami berkata projek itu dilaksanakan berikutan kebanyakan paip di Kelantan merupakan paip AC yang telah berusia dan merupakan satu daripada faktor menyebabkan NRW.

"Kajian telah dibuat oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi penukaran paip lama secara berperingkat dan penukaran ini akan melibatkan dua pakej dengan Pakej 2 di Kota Bharu Utara dan Kota Bharu Selatan.

"Kerajaan Kelantan mengambil berat isu bekalan air dan sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti bekalan air di seluruh negeri," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan