AM

Kerajaan disaran tambah hari bersidang untuk perkasa Dewan Negara

08/08/2022 12:01 AM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Kerajaan disaran menambah hari persidangan dalam setahun sebagai usaha memperkasa Dewan Negara. 

Bekas Ahli Dewan Negara dan Presiden Majlis Senator Malaysia Datuk Seri Khairudin ES Abd Samad berkata tempoh 28 hari bersidang dalam setahun adalah tidak mencukupi untuk para senator memperjuang nasib rakyat. 

“Kita minta tambah hari bersidang selama satu bulan atau dua bulan,” katanya pada Wacana Senator bertajuk Strategi Memperkasa Dewan Negara di sebuah hotel di sini malam ini. 

Beliau turut meminta tempoh Ahli Dewan Negara memegang jawatan dilanjutkan hingga lima tahun. 

Turut senada, Senator Fadhlina Sidek berkata tempoh tiga tahun adalah tidak mencukupi untuk menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Negara dengan keberkesanan maksimum.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Dr Mohamad Ali Mohamad berkata para senator perlu bergerak dalam satu hati supaya masalah rakyat dapat diselesaikan dan mereka dapat membawa suara rakyat dengan lebih lantang. 

“Kita datang dari pelbagai parti politik berbeza tetapi peranan dan tanggungjawab kita sebagai senator mesti sama iaitu melihat apa yang kita lakukan memberi kesan baik kepada rakyat tanpa ada perbezaan dalam parti politik masing-masing. 

“Saya harapkan Yang Berhormat dapat guna platform ini sebaiknya dan bekerja sebagai satu pasukan sebagai Ahli Dewan Negara untuk memastikan kita dapat berikan yang lebih baik kepada negara dan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan