BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
POLITIK

Ismail Sabri: Kerajaan sedia hadapi sebarang kemungkinan sekiranya PN tarik sokongan

06/08/2022 04:00 PM

SERDANG, 6 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan pimpinannya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal, sekiranya Perikatan Nasional (PN) berhasrat menarik sokongan dalam kerajaan.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata Malaysia adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan mana-mana parti bebas untuk membuat keputusan sendiri, namun mereka perlu menanggung kesan daripada keputusan itu termasuk tidak menyokong kerajaan.

“Saya pun dengar berita macam itu (PN tarik sokongan)…namun laporan mengenai PN itu tidak dikeluarkan secara rasmi oleh parti berkaitan cuma "mungkin satu dua orang sahaja yang mengeluarkan kenyataan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa PN bercadang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri selepas kecewa mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada Khamis antara Ismail Sabri dan PN yang diketuai Bersatu dibatalkan pada saat akhir.

Parti komponen PN dianggotai oleh Bersatu, Parti Islam Malaysia (PAS),  Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Ismail Sabri berkata sekiranya kerajaan sekarang tumbang, maka pilihan raya perlu diadakan dan kerajaan sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan. 

“Kalau bersedia untuk menghadapi pilihan raya, kita akan adakan pilihan raya. Kalau masih lagi kerajaan ini kekal, maka akan pertimbangkan dari segi tarikh pilihan raya mengikut kesesuaian," katanya.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Faiz Na’aman dilaporkan menafikan laporan yang mendakwa PN akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri kerana isu tuntutan jawatan timbalan perdana menteri, serta menegaskan partinya akan terus menyokong kepimpinan Ismail Sabri.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan