KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri serta Daerah di Sabah dan Sarawak telah diaktifkan, dan diarahkan supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan, susulan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi catatan di Facebook memaklumkan arahan itu dikeluarkan susulan Amaran Hujan Berterusan Waspada (Kuning) dikeluarkan MET Malaysia untuk beberapa kawasan di Sarawak iaitu Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu (Tatau dan Bintulu), Miri (Subis, Miri dan Marudi) dan Limbang.
Amaran yang dikeluarkan pada pukul 11 malam tadi turut melibatkan Labuan serta beberapa kawasan di Sabah iaitu Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat dan Kudat.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah telah diarah untuk diaktifkan, dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana terutama di kawasan yang berisiko tinggi.
“NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal,” menurut catatan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial